KUALA LUMPUR: Walaupun tidak dinyatakan secara jelas namun secara tersurat, bekas peguam 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Jasmine Loo Ai Swan membayangkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ibarat ‘raksasa’ dalam 1MDB.
Ia selepas peguam bela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mengasak wanita terbabit yang juga saksi pendakwaan ke-50 berhubung tindakan lembaga pengarah 1MDB yang perlu mendapatkan kelulusan daripada Najib bagi setiap transaksi di syarikat tersebut.
Muhammad Shafee: Lembaga Pengarah (1MDB) membuta tuli mengikut apa pemegang amanah (Najib) kata?
Jasmine: Mereka hanya mengikuti apa yang diberikan oleh pemegang amanah.
Muhammad Shafee: Jadi Lembaga Pengarah tak berfikir sendiri?
Jasmine: Menurut Artikel 117 (Memorandum dan Artikel Persatuan 1MDB) setiap transaksi perlu mendapatkan kelulusan Perdana Menteri.
Muhammad Shafee: Bahagian ini (Artikel 117) sering diperbesar-besarkan. Menteri Kewangan melakukannya (memberi kelulusan) mengikut undang-undang, Dia mengambil kira (makluman) lembaga pengarah dan kemudian memberikan kelulusan sebagaimana dinyatakan dalam Artikel 117.
Jadi, tunjukkan di mana dalam Artikel 117 ini yang menunjukkan Najib ada kuasa, seorang raksasa dan memperdayakan lembaga pengarah seolah-olah membawa kambing yang akan disembelih?
Jasmine: Walaupun tidak dinyatakan secara spesifiknya tiada tetapi secara amnya, ia membabitkan orang yang sama. 1MDB melayan pemegang amanah (Najib) dalam kapasitinya sebagai Perdana Menteri dan pemegang amanah.
Jasmine turut menyatakan walaupun keterangannya tidak disokong dengan dokumen yang dikemukakan ke mahkamah namun apa yang dinyatakan adalah situasi sebenar yang berlaku dalam 1MDB ketika itu.
Pada 17 Oktober 2019, bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi ketika memberi keterangan menyatakan Memorandum dan Artikel Pertubuhan 1MDB yang memperuntukkan sesetengah keputusan syarikat memerlukan kelulusan Kerajaan Persekutuan, dipinda kepada ‘memerlukan kelulusan Perdana Menteri’.
Pindaan itu, dakwa Shahrol Azral, dilakukan atas permintaan Najib dan perkara itu diberitahu kepadanya oleh Low Taek Jho, iaitu ahli perniagaan dalam buruan yang lebih dikenali sebagai Jho Low.
Sementara itu, perbicaraan yang sepatutnya bersambung sehingga petang ini terpaksa ditangguhkan selepas Najib tiba-tiba tidak sihat.
Pegawai Perubatan Klinik Kesihatan Penjara Kajang, Dr. Mohd. Hafiz Mohd. Hoshni ketika dipanggil memberi penjelasan mengenai keadaan Najib memaklumkan Najib mengalami cirit-birit sejak awal pagi dan telah diberikan rawatan ketika mahkamah berhenti rehat kira-kira pukul 12 tengah hari.
“Saya dimaklumkan oleh pegawai penjara bahawa Datuk Seri Najib tidak sihat. Apabila saya pergi berjumpanya, Datuk Seri memberitahu beliau alami cirit birit sejak pagi tadi dan perutnya sakit. Datuk Seri agak lemah dan kekurangan air. Tekanan darahnya juga rendah.
“Saya telah memberikannya ubat Buscopan, Lomotil dan larutan air garam (ORS). Datuk Seri Najib perlu rehat kerana ubat yang saya berikan akan menyebabkan beliau mengantuk jadi mungkin beliau tidak berapa selesa untuk duduk terlalu lama,” kata pegawai perubatan itu ketika disoal Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib.
Ini merupakan kali kedua perbicaraan terpaksa ditangguhkan selepas Najib mengalami cirit-birit.
Perbicaraan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung esok. – UTUSAN










