KUALA LUMPUR : Lebih dua individu sedang diburu Polis Diraja Malaysia (PDRM) selepas disyaki mempunyai kaitan dengan lelaki warga Israel yang ditahan dan memiliki enam pucuk pistol bersama 200 peluru hidup pada 27 Mac lalu.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, identiti kesemua individu berkenaan sama ada warga asing atau rakyat tempatan tidak dapat didedahkan kerana ianya boleh mengganggu siasatan.
Kata beliau, kira-kira tiga warga tempatan terdiri pasangan suami isteri dan seorang lelaki telah ditahan sebaik tangkapan dilakukan terhadap lelaki Israel berusia 36 tahun itu.
Jelas beliau, keterangan 23 orang saksi terdiri polis dan orang awam telah diambil keterangan sepanjang tempoh ini.
“Buat masa ini sisasatan kita telah menjurus kepada merakam percakapan kesemua saksi bagi siasatan di bawah Seksyen 7 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 agar kertas siasatan ini diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara dalam masa terdekat.
“Buat masa ini lelaki warga Israel berkenaan kita buka satu kertas siasatan dan warganegara Malaysia satu lagi siasatan,” katanya dalam sidang akhbar khas di Bukit Aman di sini, hari ini.
Mengulas lanjut kata beliau, sudut siasatan polis adalah pelbagai bagi mengetahui motif pemilikan senjata api itu.
“Sekurang-kurangnya perlu ada pengakuan tangkapan itu sendiri atau maklumat lain yang kita dapati daripada luar untuk kita pastikan apa motif suspek,” jelasnya. –UTUSAN










