PETALING JAYA: Lapan kontraktor didapati terlibat menipu bidaan membabitkan dua tender Jabatan Kerja Raya (JKR) dan satu tender Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) yang dianggarkan bernilai RM473 juta untuk kerja-kerja pembinaan jalan dan sistem tebatan banjir.
Kontraktor-kontraktor terlibat ialah Dutamesra Bina Sdn. Bhd., IDX Multi Resources Sdn. Bhd., Mangkubumi Sdn. Bhd., Menang Idaman Sdn. Bhd., Meranti Budiman Sdn. Bhd. dan Pintas Utama Sdn. Bhd. telah berpakat dalam kesemua tiga tender tersebut.
Dua lagi kontraktor iaitu NYL Corporation Sdn. Bhd. hanya dikesan terlibat di dalam kedua-dua tender JKR manakala Kiara Kilat Sdn. Bhd. hanya terlibat dalam salah satu daripada dua tender JKR.
Pengerusi MyCC, Datuk Seri Mohd. Hishamudin Yunus berkata, penyiasatan mendapati pada peringkat Keputusan Cadangan bahawa perusahaan-perusahaan ini telah berpakat melakukan aktiviti tipuan bida melalui perkongsian maklumat serta koordinasi dalam penyertaan tender tersebut.
Bagaimanapun, menurut beliau, penemuan MyCC melalui Keputusan Cadangan itu adalah dapatan awal, maka tidak boleh diandaikan bahawa mana-mana perusahaan telah melanggar Akta Persaingan 2010 pada peringkat ini.
“Seperti yang diperuntukkan dalam akta, perusahaan-perusahaan ini juga telah dimaklumkan mengenai penalti kewangan yang dicadangkan.
“Perusahaan-perusahaan terbabit juga diberi peluang untuk mengemukakan representasi bertulis dalam tempoh 30 hari selepas menerima Keputusan Cadangan. Setelah itu, perusahaan-perusahaan ini boleh memilih untuk membentangkan representasi lisan kepada suruhanjaya pada tarikh yang akan ditentukan kelak.
“MyCC hanya akan mengeluarkan keputusan akhirnya selepas mempertimbangkan representasi oleh perusahaan-perusahaan bersama-sama bukti yang diperoleh daripada penyiasatan berkaitan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Mohd. Hishamudin pihaknya telah mengeluarkan Keputusan Cadangan pada 16 April lalu terhadap lapan kontraktor terlibat atas pelanggaran Seksyen 4 Akta Persaingan 2010.
Katanya, Keputusan Cadangan telah disampaikan kepada semua lapan perusahaan terlibat semalam. –UTUSAN










