Parlimen: Tiada amalan anti persaingan pasaran perumahan

Parlimen: Tiada amalan antipersaingan pasaran perumahan

FUZIAH SALLEH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) tidak mengesan sebarang amalan anti persaingan melibatkan tawaran harga dan pakej perumahan termasuk unsur penetapan harga atau manipulasi pasaran dalam sektor perumahan setakat ini.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Dr. Fuziah Salleh berkata, dapatan itu diperoleh hasil pelbagai kajian dan pemantauan yang dijalankan MyCC terhadap industri pembinaan serta rantaian bekalan bahan binaan.

Menurutnya, MyCC yang beroperasi di bawah Akta Persaingan 2010 (Akta 712) sentiasa memantau isu berkaitan kos sara hidup dan kesejahteraan rakyat termasuk pasaran perumahan.

“Setakat ini, MyCC tidak pernah menerima aduan mengenai amalan anti persaingan berkaitan tawaran harga dan pakej perumahan secara spesifik.

“Boleh dikatakan bahawa dapatan MyCC tidak ada kelakuan anti persaingan berkaitan dengan tawaran harga dan pakej perumahan dalam pasaran perumahan dan sekiranya ada aduan daripada mana-mana pihak, MyCC sedia ya melaksanakan siasatan, kajian dan seterusnya penguatkuasaan,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Seri Dr. Ismail Abd. Muttalib (PN-Maran) yang meminta kementerian menyatakan langkah memperkasakan MyCC dalam memantau tawaran harga dan pakej perumahan serta menjalankan siasatan terhadap kemungkinan berlakunya penetapan harga atau manipulasi pasaran.

Fuziah berkata, bagi memastikan pasaran perumahan kekal kompetitif, MyCC telah menjalankan beberapa kajian pasaran termasuk terhadap industri pasir di Kota Bharu dan kajian semula pasaran bahan binaan yang melibatkan empat komponen utama iaitu besi, simen, konkrit siap bancuh dan pasir.

Katanya, MyCC turut menjalankan kajian khusus berkaitan harga simen memandangkan bahan tersebut merupakan antara faktor yang mempengaruhi kos pembinaan dan harga rumah.

Tambahnya, MyCC juga turut memantau perolehan kerajaan bagi membendung kewujudan kartel melalui amalan tipuan bida termasuk dalam projek berkaitan perumahan.

“Setakat ini tiada siasatan yang melibatkan projek-projek perumahan kerajaan.  Jadi maksudnya tipuan bida ini pun MyCC kaji juga supaya perolehan kerajaan itu berkaitan dengan perumahan itu sama ada ada (tipu) atau tidak,” katanya. 

Mengulas mengenai trend harga rumah, beliau berkata, berdasarkan Indeks Harga Rumah Malaysia 2025 yang diterbitkan oleh Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC), pasaran perumahan negara menunjukkan pertumbuhan sederhana dan stabil sepanjang tahun lalu.

Menurutnya, kadar pertumbuhan harga rumah menurun secara beransur-ansur selepas mencatatkan peningkatan tertinggi sebanyak 4.4 peratus pada suku keempat 2024.  – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN