PETALING JAYA: Dua syarikat kontraktor disyaki terlibat dalam kartel penipuan bida tender Pembinaan Lebuhraya Lingkaran Tengah Utama (CSR) yang dikeluarkan Jabatan Kerja Raya (JKR) membabitkan nilai perolehan sebanyak RM285 juta.
Pengerusi Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC), Tan Sri Idrus Harun berkata, susulan itu pihaknya telah mengeluarkan Keputusan Cadangan terhadap dua syarikat tersebut atas penglibatan mereka dalam kartel tipuan bida.
Katanya, kedua-dua syarikat didapati secara berperingkat melanggar Seksyen 4 Akta Persaingan 2010.
“Melalui penyiasatan MyCC, perusahaan-perusahaan tersebut didapati telah bersetuju untuk terlibat dalam perkongsian maklumat yang diselaraskan dan pakatan dalam penyediaan serta penyerahan bidaan mereka.
“MyCC mendapati bahawa perjanjian sedemikian mempunyai objektif untuk menghalang, menyekat atau mengekang persaingan secara ketara berhubung dengan perolehan awam berkaitan tender CSR,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, keputusan cadangan tersebut merupakan dapatan awal dan ia tidak boleh dianggap bahawa syarikat terbabit melanggar Akta 712 secara konklusif.
“Perusahaan-perusahaan ini juga telah dimaklumkan mengenai penalti kewangan yang dicadangkan. Mereka diberi peluang untuk mengemukakan representasi bertulis dalam tempoh 30 hari selepas menerima Keputusan Cadangan serta membentangkan representasi lisan di hadapan suruhanjaya pada tarikh yang akan ditentukan kemudian.
“MyCC hanya akan mengeluarkan Keputusan Akhir selepas mempertimbangkan representasi yang dibuat oleh perusahaan-perusahaan ini bersama-sama dengan bukti yang diperoleh semasa penyiasatan,” katanya. – UTUSAN









