PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan semalam menolak permohonan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) untuk mendapatkan kebenaran merayu bagi mengembalikan cadangan denda RM86.77 juta terhadap Grab Inc dan dua anak syarikatnya, Grabcar Sdn. Bhd. serta Myteksi Sdn. Bhd.
Keputusan sebulat suara itu dicapai panel tiga hakim diketuai Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Abu Bakar Jais yang bersidang bersama Tan Sri Ahmad Terrirudin Mohd. Salleh dan Datuk Lee Swee Seng. Mahkamah turut memerintahkan MyCC membayar kos sebanyak RM50,000 kepada Grab.
Ketika membacakan penghakiman ringkas, Hakim Abu Bakar berkata, mahkamah berpandangan bahawa keputusan Mahkamah Rayuan sebelum ini adalah sah dan perlu dipatuhi, sekali gus menolak permohonan MyCC di bawah Seksyen 96 Akta Mahkamah Kehakiman 1964.
“Panel memahami hujahan kedua-dua pihak, namun kami berpendapat sudah wujud keputusan substantif dalam kes ini walaupun tiada keputusan muktamad. Oleh itu, mahkamah mendapati pihak pemohon gagal memenuhi kehendak undang-undang untuk meneruskan rayuan,” katanya.
Dalam prosiding itu, Grab dan anak-anak syarikatnya diwakili peguam, Datuk Malik Imtiaz Sarwar, manakala MyCC diwakili peguam, Datuk V. Sithambaram.
Kes bermula pada Disember 2019 apabila MyCC mencadangkan denda RM86.77 juta terhadap Grab selepas mendakwa syarikat itu melanggar Akta Persaingan 2010. Grab kemudian memfailkan semakan kehakiman bagi mencabar cadangan tersebut.
Pada 2020, Mahkamah Tinggi menolak permohonan Grab atas alasan langkah itu pramatang kerana keputusan MyCC belum dimuktamadkan. Namun pada April 2021, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan Grab dan mengembalikan kes itu ke Mahkamah Tinggi untuk pendengaran merit.
Tahun berikutnya, Mahkamah Persekutuan menolak permohonan MyCC untuk merayu keputusan Mahkamah Rayuan, manakala Mahkamah Tinggi meneruskan perbicaraan penuh pada 2022.
Susulan itu, pada 6 Julai 2023, MyCC sekali lagi mengemukakan rayuan selepas Mahkamah Tinggi memihak kepada Grab dan membatalkan cadangan denda RM86.77 juta tersebut melalui perintah certiorari. – UTUSAN










