Khairul Azhari cuba raih undi pelbagai kaum

Khairul Azhari cuba raih undi pelbagai kaum

KHAIRUL Azhari beramah mesra dengan peniaga di Pasar Pagi Batang Kali sambil ditemani Mohd Hasnizan - UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU SELANGOR: Perikatan Nasional (PN) ingin mendekati seluruh pengundi tanpa mengira kaum supaya dapat menarik lebih banyak undi dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Bharu yang berlangsung pada 11 Mei ini.

Calonnya, Khairul Azhari Saut berkata, beliau bersama PN sudah merancang beberapa strategi yang diyakini dapat membantunya mendekati pengundi pelbagai lapisan umur dan kaum semasa berkempen.

Menurutnya, PN akan berpecah kepada beberapa kumpulan bagi setiap kaum untuk memudahkan komunikasi bersama pengundi dan jelaskan mengenai manifesto yang dibawa oleh calon.

Malah, katanya, beliau turut mengharap perjalanan kempen dapat diadakan secara sihat bersama calon-calon lain dan tidak berlakunya pergaduhan dan rovokasi antara satu sama lain.

“Kami berpecah dalam beberapa kumpulan iaitu kumpulan orang Melayu, Cina, India dan lain-lain. Kami buat sedemikian bukan sebab sifat perkauman tetapi untuk mengelakkan halangan bahasa antara kaum lain.

“Ini untuk memudahkan proses berkempen berlangsung supaya dapat tarik sokongan pengundi kaum lain untuk mengundi kami,” katanya ketika berkempen di Pasar Pagi Batang Kali.

Untuk rekod, Khairul Azhari akan berdepan dengan perlawanan antara empat penjuru iaitu selain beliau turut sama bertanding adalah Pang Sock Tao mewakili Pakatan Harapan (PH), Hafizah Zainuddin (Parti Rakyat Malaysia) dan Nyau Ke Xin (Bebas).

Sementara itu, Ahli Parlimen Hulu Selangor, Mohd Hasnizan Harun berkata, beliau yakin dengan calon Khairul Azhari kerana merasakan beliau mampu untuk memikul tanggungjawab dan jawatan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dengan baik.

“Sekiranya PN dapat memenangi bagi PRK KKB ini, dengan izin Allah kami dapat kemenangan 4-0 di Hulu Selangor.

“Selaku Ahli Parlimen di sini, saya akan gabungkan Kuala Kubu Bharu ini bersama Batang Kali dan Hulu Bernam untuk membantu masyarakat tidak kira bangsa dan agama,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN