PUTRAJAYA: Kerajaaan bersetuju mengagihkan beberapa bentuk bantuan kepada ahli keluarga dan waris nahas dua helikopter di Lumut, Perak pagi semalam.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, perkara itu dipersetujui pada mesyuarat Jemaah Menteri, hari ini.
Tanpa mengulas lanjut bentuk bantuan yang bakal diberikan, Fahmi berkata, perkara itu akan diumumkan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dalam masa terdekat.
“Rakan-rakan media boleh merujuk perkara itu menerusi kenyataan oleh Menteri Pertahanan hari ini,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.
Pada masa sama, katanya, Kementerian Pertahanan juga memberi jaminan untuk menyegerakan laporan interim dan laporan penuh tragedi menyayat hati itu.
“Laporan interim mengenai nahas itu akan dikeluarkan dalam tempoh dua minggu, manakala laporan penuh dalam masa sebulan,” katanya.
Dalam insiden pukul 9.30 pagi semalam, 10 mangsa terdiri daripada tujuh kru dan tiga penumpang maut, dalam nahas membabitkan pertembungan dua helikopter yang terbabit dalam latihan lintas hormat sempena sambutan Hari Ulang Tahun TLDM ke-90 di Lumut, Perak.
Berdasarkan video yang tersebar, kedua-duanya dipercayai bertembung ketika hendak membentuk formasi penerbangan raptai lintas hormat yang dirancang berlangsung di ruang udara Pangkalan TLDM Lumut.
Susulan pertembungan berlaku, kedua-dua pesawat terbabit hilang kawalan sebelum terhempas.
Mangsa yang maut terdiri daripada Komander Muhamad Amir Mohamad, Leftenan Sivasutan a/l Thanjappan, Pegawai Waran II TMK Mohd Shahrizan Mohd Termizi, Komander Muhammad Firdaus Ramli, Leftenan Komander Wan Rezaudeen Kamal Wan Zainal Abidin, Leftenan Komander Mohammad Amirulfaris Mohamad Marzukhi, Pegawai Waran II TLR Muhammad Faisol Tamadun, Laskar Kelas I JJM Joanna Felicia anak Rohna, Pegawai Waran II TNL Noorfarahimi Mohd Saedy dan Bintara Muda TNL Noor Rahiza Anuar. -UTUSAN










