Kaum bukan penentu utama kemenangan

Kaum bukan penentu utama kemenangan

Peratus keluar mengundi dan isu semasa turut pengaruhi kemenangan calon dalam PRK Kuala Kubu Baharu 11 Mei ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Isu kaum tidak menjadi penentu utama kemenangan calon dan parti sebaliknya bakal ditentukan jumlah peratusan keluar mengundi serta isu-isu semasa yang diketengahkan menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu pada 11 Mei ini.

Hal ini kerana kawasan tersebut merupakan kerusi campuran pelbagai kaum di samping terletak di kawasan pinggir bandar sekali gus mencerminkan kecenderungan pengundi berasaskan sentimen kenaikan kos sara hidup dan dasar kerajaan untuk membantu rakyat.

Malah PRK ini tidak memberi kesan terhadap kedudukan Kerajaan Negeri Selangor yang dikuasai 34 ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) parti Kerajaan Perpaduan berbanding 22 wakil rakyat Perikatan Nasional (PN) sekali gus mempengaruhi minat pengundi untuk keluar mengundi.

Untuk rekod, majoriti mudah DUN Selangor adalah 29 kerusi dan menggambarkan kekalahan satu kerusi kepada Pakatan Harapan (PH) manakala pertambahan kawasan terhadap PN tidak mengubah kepemimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari.

Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr. Noor Nirwandy Mat Noordin berkata, walaupun pelbagai pihak berpandangan PH dijangka mengekalkan penguasaan kerusi tersebut namun jumlah undi mungkin merosot kepada 1,000 undi berbanding 4,000 undi setelah melihat kepentingan pilihan raya itu bagi mereka.

Justeru itu katanya, PRK Kuala Kubu Baharu itu kini menjadi salah satu faktor utama untuk mengenal pasti sama ada masih wujud pengundian berasaskan polarisasi kaum ataupun isu semasa yang membelenggu kehidupan rakyat.

“Mungkin jumlah pengundi menurun kerana tidak minat pilihan raya kini kerana melihat mengundi sekalipun, PH tetap jadi kerajaan manakala PN terus sebagai pembangkang dan ia tidak mengubah kedudukan kepimpinan dan polisi kerajaan.

“Tidak dinafikan PRK ini bakal mencerminkan kecenderungan pengundi Melayu kepada parti tertentu tetapi ia bukanlah faktor kemenangan sebaliknya dipengaruhi besar isu ekonomi dan sosial serta dasar direncanakan kerajaan negeri dan Persekutuan untuk membantu rakyat,” katanya kepada Utusan Malaysia.

PRN Kuala Kubu Baharu menyaksikan PN menamakan pemangku Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Hulu Selangor, Khairul Azhari Saut manakala PH pula menamakan calon wanita, Pang Sock Tao.

Ketika PRN Selangor Ogos lalu, PN yang mempertaruhkan Pengerusi Parti Gerakan Selangor, Henry Teoh Kien Hong kalah dalam pertandingan tiga penjuru dengan 10,743 undi berbanding calon PH, Lee Kee Hiong yang menang 14,862 undi.

PRK Kuala Kubu Baharu dijadualkan berlangsung pada 11 Mei ekoran Kee Hiong meninggal dunia pada 21 Mac lalu akibat kanser.

Bagi Pengarah Eksekutif Merdeka Centre, Ibrahim Suffian, langkah PN meletakkan calon kaum Melayu masih belum boleh menjamin kemenangan parti itu dalam PRK DUN Kuala Kubu Baharu apatah lagi menjayakan ‘misi 4-0’ bagi menewaskan penguasaan PH dan DAP di kerusi marginal.

Katanya, jumlah 48 peratus pengundi Melayu adalah separuh daripada keseluruhan 40,226 pemilih berdaftar di DUN tersebut di samping PH pula memiliki sokongan sedia ada di dalam kalangan kaum tersebut.

Malah tambah beliau, ketika PRN Selangor tahun lalu PH masih berjaya meraih hampir satu pertiga sokongan pengundi walaupun berdepan pertembungan tiga penjuru.

“Kini dengan gandingan perpaduan bersama UMNO, ada potensi untuk PH meraih sokongan yang lebih tinggi dalam kalangan pengundi Melayu di situ.

“PN sebenarnya memerlukan penambahan sokongan dalam kalangan bukan Melayu untuk memperbaiki peluang mereka,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN