PETALING JAYA: Kedudukan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dilihat masih goyah meskipun Tan Sri Muhyiddin Yassin berjaya mengekalkan jawatan sebagai Presiden selepas menang tanpa bertanding dalam pemilihan parti bagi penggal 2024 hingga 2027.
Pensyarah Kanan di Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr. Noor Nirwandy Mat Noordin berkata, ini kerana gerak kerja Bersatu dilihat terlalu bergantung pada penyokong Pas kerana tidak mempunyai sokongan akar umbi yang kuat.
“Namun begitu, strategi Muhyiddin untuk merangka barisan pemimpin dalam hierarki parti berjaya dicapai sekali gus dapat merancang skema untuk bersedia dalam pilihan raya umum akan datang.
“Justeru, sebarang perkara yang berlaku dalam politik negara termasuk Bersatu ialah hak mutlak kepimpinan parti untuk atur strategi,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sebelum ini jawatan Presiden dan Timbalan Presiden Bersatu tidak dicabar pada pemilihan baru-baru ini.
Keputusan itu menyaksikan Muhyiddin kekal menyandang jawatan Presiden manakala Datuk Seri Hamzah Zainudin yang sebelum ini memegang kerusi Setiausaha Agung Bersatu menang jawatan Timbalan Presodem parti.
Bagi jawatan Naib Presiden pula menyaksikan ia kekal dipegang oleh penyandang Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr. Mohd. Radzi Jidin dan Ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Ronald Kiandee dan satu lagi diisi oleh Ketua Bersatu Bahagian Tambun, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.
Sementara itu, penganalisis politik, Dr. Azmi Hassan berkata, kemenangan Mohd. Radzi dan Ahmad Faizal merupakan kehendak Muhyiddin untuk mengekalkan ahli yang setia kepadanya. – UTUSAN











