PETALING JAYA: Tindakan tegas perlu dikenakan terhadap pihak yang bertindak melampau dengan melakukan ugutan, serangan terhadap kediaman serta membakar kenderaan individu tertentu.
Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, perbuatan ekstrem seperti mengugut dengan kekerasan dan menyerang harta benda orang lain jauh lebih berbahaya serta tidak boleh dipandang ringan.
“Perkara ini jauh lebih berbahaya dan memerlukan tindakan tegas serta keras kepada mereka yang terlibat. Jangan lihat sebelah pihak sahaja, pihak yang sebelah sana juga perlu dihukum,” katanya dalam kenyataan.
Beliau mengulas desakan pihak-pihak tertentu yang mahukan tindakan tegas dikenakan ke atas seorang aktivis selepas klip video yang didakwa menunjukkan dia menghina simbol agama hindu.
Semalan, tiga kereta milik seorang individu dikenali sebagai Cikgu Chandra dibakar, dipercayai dilakukan oleh sekumpulan lelaki tidak dikenali.
Sebelum kejadian itu, rumah Cikgu Chandra di Puchong didakwa telah diserang sekumpulan lelaki yang memecahkan cermin kereta serta tingkap kediamannya.
Serangan berlaku hanya beberapa hari selepas seorang pendakwah bebas terkenal, Zamri Vinoth, diserang sekumpulan lelaki ketika berada di dalam keretanya.
Sebelum kejadian-kejadian ini, tular kejadian seorang pelajar universiti, S. Vikneswaran memijak al-Quran.
Penuntut in didakwa mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan kerana mencemarkan objek yang dianggap suci, iaitu al-Quran, dengan memijaknya, yang perbuatan tersebut dilakukan dengan pengetahuan bahawa ia suatu penghinaan terhadap Islam.
Seksyen 295 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara hingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Dia juga didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana membuat dan memulakan suatu hantaran komunikasi yang bersifat jelek melampau dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain melalui aplikasi Threads.
Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 memperuntukkan denda tidak melebihi RM500,000 atau penjara hingga dua tahun atau kedua-duanya sekali. – UTUSAN










