PETALING JAYA: Tiga lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap pertuduhan membakar tiga kereta milik isteri kepada aktivis sosial, Cikgu Chandra, Mac lalu.
Pengakuan itu dibuat tertuduh, pemandu trak tunda, A. Kumaran, 34, pengawal keselamatan, S. Kisshen Nair, 32, dan pemandu lori, P. Surendran, 37, selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Noor Ruzilawati Mohd. Nor.
Mengikut pertuduhan, mereka bersama-sama telah melakukan khianat menggunakan api terhadap kereta jenis Perodua Bezza, Viva dan Proton Ertiga milik M. Sri Uma Mahesvary, 50, di sebuah kediaman di Taman Kinrara, Puchong, di sini, pada pukul 3 pagi, 10 Mac lalu.
Perbuatan tu menyebabkan mangsa mengalami kerugian dengan anggaran RM80,000.
Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Nurfadzlin Mahmad Zulhasnan tidak menawarkan sebarang jaminan memandangkan kesalahan yang dilakukan tidak boleh dijamin.
Bagaimanapun, sekiranya mahkamah ingin menggunakan budi bicara, pihaknya memohon jaminan ditetapkan pada kadar RM10,000 bagi setiap tertuduh.
Selain itu, pendakwaan turut memohon syarat tambahan agar Kumaran, Kisshen Nair dan Surendran menyerahkan pasport kepada mahkamah, melaporkan diri di balai polis berdekatan serta tidak mengganggu saksi-saksi pendakwaan.
Peguam bela, S. Vinesh yang mewakili kesemua tertuduh memohon jaminan pada kadar minimum dengan mengambil kira kemampuan kewangan anak guamnya selain masing-masing merupakan pencari nafkah tunggal keluarga.
“Ketiga-tiga tertuduh adalah daripada keluarga sederhana, telah direman pada 17 Mac dan bebas dengan jaminan polis.
“Mereka juga telah hadir ke mahkamah secara sukarela dan tiada risiko untuk melarikan diri (flight risk). Mohon jaminan diberikan mengambil kira kemampuan sebenar anak guam,” katanya.
Mahkamah kemudian membenarkan ketiga-tiga lelaki itu diikat jamin sebanyak RM8,000 setiap seorang dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan seperti yang dipohon pihak pendakwaan.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula bagi serahan dokumen pada 7 Ogos ini.
Pada 10 Mac lalu, media melaporkan aktivis itu atau nama sebenarnya S. Chandrasegaran telah diserang di kediamannya, dipercayai dilakukan sekumpulan lelaki tidak dikenali pada awal pagi.
Akibat kejadian itu, sebuah Proton Ertiga milik keluarganya terbakar sepenuhnya, manakala dua lagi kenderaan turut mengalami kerosakan.
Cikgu Chandra mula dikenali susulan pendirian kerasnya terhadap pembinaan kuil secara haram. – UTUSAN










