PRK Pandan: Cubaan Rafizi cetus provokasi - Puad 

PRK Pandan: Cubaan Rafizi cetus provokasi – Puad 

MOHD. PUAD ZARKASHI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli dilihat cuba mencetuskan provokasi apabila mendakwa kemungkinan berlaku Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pandan.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, kenyataan Mohd. Rafizi itu juga mencerminkan PKR antara parti yang paling kerap mencetuskan PRK hanya semata-mata untuk menyelesaikan isu dalaman.

Katanya, ia dapat dibuktikan menerusi tiga siri PRK yang diadakan sebelum ini sehingga dilihat pembaziran wang rakyat. 

“PRK Port Dickson pada 13 Oktober 2018 turut diadakan selepas pengosongan kerusi oleh Datuk Danyal Balagopal Abdullah bagi memberi laluan kepada Anwar, tetapi tidak membawa kepada perubahan seperti diharapkan.

“Begitu juga dengan PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang pada 23 Mac 2014 apabila Lee Chin Cheh meletakkan jawatan untuk memberi laluan kepada Anwar, namun perkembangan kes mahkamah menyebabkan Wan Azizah Wan Ismail bertanding dan usaha tersebut juga tidak mencapai matlamat asal.

“Maka sanggupkah Anwar mengadakan sekali lagi PRK di Parlimen Pandan hanya kerana konflik dalaman PKR? Mengapa negara perlu diseret dengan membazirkan wang pembayar cukai?” katanya menerusi hantaran Facebooknya hari ini.

Rafizi sebelum ini mendakwa, kehadiran Presiden PKR,  Datuk Seri Anwar Ibrahim ke kawasan Parlimennya sebagai isyarat politik yang jelas bahawa parti sedang membuat persiapan bagi menghadapi segala kemungkinan termasuk PRK. 

Ahli Parlimen Pandan itu berkata, perkembangan semasa khususnya berhubung isu surat tunjuk sebab yang dikeluarkan terhadapnya menunjukkan proses berkenaan sudah memasuki peringkat akhir untuk tindakan seterusnya. 

Dalam pada itu, Puad berkata, Rafizi seharusnya mengekalkan kedudukannya sebagai Ahli Parlimen Pandan sehingga tamat tempoh perkhidmatan tanpa mencetuskan sebarang provokasi.

“Biarlah Rafizi kekal sebagai Ahli Parlimen Pandan hingga habis tempoh. Beliau tidak perlu membuat provokasi semata-mata untuk mencari simpati,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN