KEPALA BATAS : Penganjuran Karnival Mahabbah Ramadan Syawal di Bertam Square yang memasuki edisi ke-15 tahun ini mendapat sambutan hangat apabila menerima hampir 300 penyertaan daripada peniaga bumiputera termasuk 150 usahawan muda.
Penganjurnya, Zaini Aboo Hassan berkata, kesemua peniaga tersebut dihimpunkan di bawah satu bumbung meskipun rata-rata mereka menjual produk yang berlainan seperti makanan dan minuman, pakaian raya serta kelengkapan rumah.
“Sempena karnival ini juga, kita wujudkan Bertam Street Market dengan suasana sambutan hari raya.
“Pengunjung boleh datang dan menghayati suasana Aidilfitri di lorong-lorong di Bertam Street Market ini di mana para peniaganya juga memakai pakaian raya,” katanya, semalam.
Terdahulu, karnival yang bermula sejak 1 Ramadan itu dirasmikan oleh Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak. Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Dr. Mohamad Abdul Hamid.
Turut diadakan sempena majlis perasmian itu ialah sumbangan untuk tiga buah sekolah pondok iaitu Pondok Moden Darussalam, Madrasah Al-Quran Wal Arabiyyah (MAWAR) dan Maahad Tahfiz Turath Al-Khodafi Pulau Pinang.
Dalam pada itu, Zaini berharap agar orang ramai tidak melepaskan peluang untuk mengunjungi Karnival Mahabbah Ramadan Syawal menjelang minggu terakhir Ramadan ini untuk mendapatkan kelengkapan bagi menyambut Aidilfitri tidak lama lagi.
“Alhamdulillah, sejak awal Ramadan lagi kita dah dapat kunjungan yang cukup ramai dan tahun ini, kita target ia (jumlah pengunjung) meningkat sehingga sekali ganda,” ujar beliau.-UTUSAN










