PARIT: Seorang kanak-kanak lelaki dua tahun ditemukan lemas selepas dipercayai terjatuh ke dalam tasik di Masjid An-Nur, Seri Iskandar di sini hari ini.
Mangsa, Hadi Zulkanain Muhammad Huzaifah dijumpai pasukan penyelamat pada pukul 4.25 petang pada jarak tiga meter dari tebing tasik.
Difahamkan, kejadian berlaku ketika mangsa bersama empat ahli keluarga singgah di masjid terapung berkenaan untuk menunaikan solat Zohor.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seri Iskandar, Muhammad Ashraf Mat Isa berkata, maklumat kejadian itu diterima pada pukul 1.19 petang dengan sepasukan anggota diatur gerak ke lokasi kejadian.
Katanya, berdasarkan maklumat keluarga dan pemeriksaan kamera litar tertutup (CCTV), kanak-kanak terbabit dilihat berada bersebelahan dengan tasik berkenaan.
“Berdasarkan maklumat itu,ketua operasi membuat penilaian risiko di lokasi dikenal pasti dan mengarahkan anggota membuat pencarian dengan menggunakan ‘whaly boat’.
“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) turut disertai Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) BBP Ipoh yang membuat selaman di lokasi terakhir mangsa dilihat,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, pasukan PPDA yang membuat selaman pada kedalaman 3.6 meter kemudiannya berjaya menjumpai mangsa.
“Mangsa segera dibawa naik ke tebing dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
“Operasi SAR yang ditamatkan pada pukul 5 petang itu turut dibantu anggota dari BBP Parit dan pasukan polis,” katanya. – UTUSAN











