Kad sim, telefon bimbit Aliff Syukri disita - MCMC

Kad sim, telefon bimbit Aliff Syukri disita – MCMC

ALIFF SYUKRI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CYBERJAYA: Pegawai penyiasat menyita kad sim dipercayai milik Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman serta satu unit telefon bimbit yang digunakan untuk memuat naik video kontroversi teaser Hari Raya bagi membantu siasatan.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam kenyataan memaklumkan, pihaknya telah merakam percakapan usahawan kosmetik itu di ibu pejabat suruhanjaya ini dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Katanya, rakaman percakapan ini adalah susulan aduan yang diterima oleh MCMC berhubung kandungan video itu yang dimuat naik Aliff Syukri.

“Setelah kertas siasatan siap, ia akan diserahkan kepada Peguam Negara untuk tindakan lanjut.

“Klip video raya yang dimuat naik di platform media sosial beliau dilihat sebagai kandungan yang bersifat jelik yang boleh melanggar peruntukan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588],” katanya hari ini.

MCMC berkata, di bawah peruntukan Seksyen 233 juga melarang pembuatan dan penghantaran komunikasi yang antara lain, bersifat jelik, lucah atau sumbang dengan niat untuk menyakitkan hati atau mengganggu orang lain.

Katanya, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998 [Akta 588].

“Jika sabit kesalahan, individu boleh dihukum denda maksimum RM50,000, atau penjara maksimum satu tahun, atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Usahawan kontroversi itu sebelum ini membuat permohonan maaf selepas memuat naik klip video lagu baharu berjudul Love Raya yang memaparkan sekumpulan lelaki berkelakuan aneh dan tidak sopan pada Ramadan.

Melalui hantaran video dalam Instagram (IG), semalam, Aliff, 36, turut memohon maaf kepada ibunya yang juga usahawan, Rozita Ibrahim selepas ditegur kerana memuatnaik video tidak sepatutnya pada bulan Ramadan.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN