PETALING JAYA: Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) bakal mengadakan sambutan Hari Harta Intelek Nasional (HHIN) bermula semalam sehingga Jumaat ini.
Program tersebut diadakan melalui webinar dan secara bersemuka di Menara MyIPO, Petaling Jaya Sentral di sini dengan pelbagai aktiviti menarik yang boleh disertai oleh orang ramai.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Komunikasi Korperat, Akhtar Sahari berkata, program itu bertujuan meningkatkan kesedaran awam berkenaan kepentingan harta intelek kepada masyarakat dan negara yang perlu dilindungi.
“Kebanyakan pengusaha tidak sedar kepentingan untuk melindungi corak atau produk mereka sehinggalah ditiru atau dicuri pengguna lain.
“Berbeza dengan orang awam pula, program ini diadakan bagi memberi kesedaran kepada mereka untuk tidak sewenang-wenangnya mencuri idea pengusaha lain,” katanya.
Bukan itu sahaja, menerusi sambutan ini, organisasi, pereka cipta, pengkarya dan penginovasi akan diberi pengiktirafan terhadap sumbangan yang telah diberikan melalui Anugerah Harta Intelek Negara (AHIN).
Katanya, AHIN mula diperkenalkan oleh kerajaan pada tahun 2006 diatas sumbangan mereka dalam pembangunan sosio-ekonomi negara.
“Anugerah ini bagi menggalakkan minda kreatif serta menanamkan budaya inovasi dan
rekacipta dalam kalangan rakyat Malaysia.
“Kita juga berharap, melalui AHIN, lebih banyak lagi penghasilan melibatkan harta intelek sebagai sumber kekayaan baharu negara,” jelasnya.
Lebih menarik, penerima anugerah akan mendapat peningkatan reputasi sebagai pakar atau inovator dalam bidang tertentu.
“Ini bagi meneroka peluang dan pengalaman baharu bagi mendapatkan kerjasama, pendanaan, atau peluang perniagaan yang lebih baik,” katanya.
Akhtar berkata, anugerah ini terbuka kepada organisasi kerajaan, syarikat swasta, syarikat multinasional, Pengusaha Kecil Sederhana (PKS).
“Lebih menarik, pelajar universiti, kolej vokasional, politeknik, atau individu yang mempunyai harta intelek yang telah difailkan di MyIPO dari tahun 2020 hingga 2024 juga berpeluang untuk menyertai,” katanya.
Setakat ini, MyIPO telah menerima sebanyak 260 penyertaan termasuklah daripada Proton, Petronas dan penglibatan dari universiti seperti Universiti Malaya dan Universiti Putra Malaysia.
Jumlah hadiah bagi AHIN adalah sebanyak RM219,600 di mana hadiah utama iaitu Anugerah Platinum di bawah kategori Pembangunan Lestari Harta Intelek berjumlah RM30,000.
Katanya, terdapat lima kategori yang akan dipertandingkan pada tahun ini iaitu Anugerah Platinum di bawah kategori Pembangunan Lestari Harta Intelek, Anugerah Teknologi Hijau, Anugerah Karya Lestari, Anugerah Milenial dan Anugerah Permata.
Bagi kategori Pembangunan Lestari Harta Intelek, anugerah ini diberikan kepada organisasi yang bertanggungjawab serta mempunyai strategi untuk mengguna semula sumber-sumber harta intelek mereka dalam jangka masa panjang.
Anugerah Teknologi Hijau pula diberikan kepada mereka yang memiliki harta intelek yang menarik, kreatif, dan menyumbang kepada teknologi hijau dan alam sekitar.
Anugerah Karya Lestari melibatkan pemilik harta intelek seperti Cap Dagangan, Hak Cipta, Reka Bentuk Perindustrian dan Paten yang mempromosikan kelestarian inovasi dan kreativiti serta memberi faedah kepada masyarakat atau negara.
Anugerah Milenial, terbuka kepada Institusi Kemahiran dan setaraf di Malaysia yang memiliki rekacipta asli, menarik, kreatif, dan mempunyai nilai komersial.
Akhir sekali, Anugerah Permata, terbuka kepada pelajar sekolah menengah di Malaysia, termasuk pelajar Kolej Vokasional, yang memiliki rekacipta asli, menarik, kreatif, memberikan faedah kepada masyarakat atau negara, serta mempunyai nilai komersial.
Menurut Akhtar, program ini dijangka menarik lebih 2,000 pengunjung dan lebih 30 usahawan yang menyertainya.
“Kita juga mendapat kerjasama yang hebat daripada Bank Rakyat, Petronas, Richiamo Coffee, Monsta, Bank MBSB dan banyak lagi,” katanya. –UTUSAN








