MyIPO pinda tujuh akta utama tahun hadapan perkukuh perlindungan harta intelek negara

MyIPO pinda tujuh akta utama tahun hadapan perkukuh perlindungan harta intelek negara

YUSNIEZA Syarmilla Yusoff semasa menyaksikan tren gerabak MyIPO dalam Majlis Pelancaran Promosi MyIPO @ LRT di Stesen LRT Taman Jaya, di sini, hari ini. - Gambar: MyIPO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) merancang pinda tujuh akta utama pada tahun hadapan bagi memastikan perlindungan harta intelek negara lebih kukuh, relevan dan selaras perkembangan global termasuk tuntutan perdagangan antarabangsa.

Ketua Pengarahnya, Yusnieza Syarmila Yusoff berkata, pindaan menyeluruh itu penting bagi memperkemas standard perlindungan, mengukuhkan penguatkuasaan serta meningkatkan mekanisme sedia ada supaya hak pencipta, penggiat industri dan usahawan tempatan terjamin.

“Apabila masyarakat memahami nilai dan fungsi perlindungan harta intelek, impaknya amat besar. Ia bukan sahaja mengurangkan risiko kerugian akibat pelanggaran hak, malah membuka ruang lebih luas untuk pertumbuhan dan kemakmuran ekonomi,” katanya pada Majlis Pelancaran Promosi MyIPO @ LRT di sini hari ini.

Beliau berkata, memiliki perlindungan IP sama seperti mempunyai ‘tiket keselamatan’ sepanjang perjalanan inovasi.

“Bagaimana usahawan kecil dapat melindungi identiti unik kedai kopinya daripada ditiru? Di sinilah MyIPO menawarkan tiket keselamatan itu melalui pendaftaran hak cipta, cap dagangan dan paten,” katanya.

Tujuh akta yang bakal dipinda itu ialah Akta Perbadanan Harta Intelek Malaysia 2002, Akta Cap Dagangan 2019, Akta Paten 1983, Akta Hak Cipta 1987, Akta Reka Bentuk Susun Atur Litar Bersepadu 2000, Akta Petunjuk Geografi 2022 dan Akta Reka Bentuk Perindustrian 1996.

Menurut MyIPO, langkah tersebut turut mengambil kira perkembangan global termasuk Perjanjian Perdagangan Timbal Balas Malaysia–Amerika Syarikat (ART) yang membuka peluang pasaran lebih luas kepada pencipta dan pelabur tempatan.

Dalam masa sama, MyIPO mengumumkan pelaksanaan penuh sistem Pemberitahuan Sukarela Hak Cipta (CVN) secara dalam talian bermula 2 Disember 2025, sekali gus memudahkan pendaftaran hak cipta tanpa keperluan hadir ke kaunter.

Mengulas mengenai promosi baharu itu, Yusnieza berkata inisiatif menggunakan tren LRT sebagai medium komunikasi massa adalah pendekatan kreatif untuk mendekatkan mesej perlindungan harta intelek kepada masyarakat setempat.

Program tersebut turut disertai pertandingan “Snap It Right” bagi menggalakkan rakyat menghasilkan kandungan kreatif berkaitan harta intelek.

MyIPO juga menyantuni komuniti setempat melalui penyampaian bantuan kepada 20 orang golongan asnaf di sekitar Petaling Jaya dan komuniti masjid berdekatan.

“Inisiatif ini melambangkan komitmen MyIPO bukan sahaja terhadap pembangunan inovasi dan ekonomi negara, tetapi juga kesejahteraan masyarakat,” katanya.

Pada 2026, MyIPO bakal menganjurkan Anugerah Harta Intelek Negara (AHIN) 2026 sempena sambutan Hari Harta Intelek Negara merangkumi kategori organisasi, pencipta, pelajar, usahawan dan ejen harta intelek. Penyertaan dibuka sehingga 15 Januari tahun depan untuk menonjolkan hasil karya masing-masing. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN