DAP tabur 'gula-gula' untuk pengundi Kuala Kubu Bharu

DAP tabur ‘gula-gula’ untuk pengundi Kuala Kubu Bharu

Walaupun Nga Kor Ming (tiga dari kanan) tegaskan peruntukan pembangunan yang diumumkannya untuk Hulu Selangor sama seperti di kawasan lain, MCA dakwa ia tetap dianggap `gula-gula' menjelang PRK Kuala Kubu Baharu 11 Mei.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: MCA menegaskan walaupun Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming tidak berniat ‘berkempen’ memberi peruntukan RM5.21 juta di Kuala Kubu Baharu, ia tetap dilihat sebagai menabur ‘gula-gula’ pilihan raya.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Penerangan Pemuda MCA, Neow Choo Seong berkata, apa sahaja niat ahli Parlimen Teluk Intan itu tidak seharusnya menghalalkan tindakannya apatah lagi melibatkan wang juta ringgit.

Sehubungan itu, katanya, pemberian peruntukan berkenaan dianggap sebagai memperbodoh rakyat terutama pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu dan DAP sendiri.

“Dahulu semasa DAP menjadi pembangkang, merekalah kononnya hero antirasuah dan antipolitik wang.

“Dahulu, mereka mengutuk Barisan Nasional (BN) dan kata pemberian BR1M (Bantuan Rakyat 1Malaysia) untuk membantu golongan miskin ini ibarat rasuah dan gula-gula politik. Sekarang bagaimana pula apabila mereka berkuasa,” katanya ketika dihubungi semalam.

Ahad lalu, Mingguan Malaysia melaporkan, Kor Ming menjelaskan niatnya memberi peruntukan RM5.21 juta dalam satu program di Kuala Kubu Bharu bukan tujuan ‘berkempen’ sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu pada 11 Mei ini.

Katanya, pemberian peruntukan itu jauh sekali untuk meraih perhatian pengundi di kawasan itu supaya memilih calon daripada Pakatan Harapan (PH)-DAP yang bakal diumum nanti.

Bagaimanapun, Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) menyifatkan tindakan Kor Ming sebagai tidak beretika kerana ia dilihat bercanggah dengan prinsip perlawanan politik yang sama rata dalam pilihan raya.

Mengulas lanjut, Choo Seong berkata, tindakan Kor Ming bukan kali pertama berlaku, malah beliau didakwa ‘belajar’ daripada Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berhubung pemberian kredit e-tunai RM100 kepada semua rakyat dewasa berpendapatan tahunan RM100,000 ke bawah.

“Ke mana tumpahnya kuah kalau bukan ke nasi? Sebab itu ramai dalam kalangan orang Cina sekarang mula sedar yang DAP cakap tidak serupa bikin, gagal tunai janji dan hanya pandai berkokok,” katanya. – UTUSANfadhli 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN