Cegah seludup lembu, kambing menjelang Aidiladha - Utusan Malaysia

Cegah seludup lembu, kambing menjelang Aidiladha

Lembu kambing
MOHAMAD Sabu berucap pada Majlis Perasmian Simposium Pengembangan Subsektor Tanaman Jabatan Pertanian 2024, di Klang, Selangor, hari ini. - UTUSAN / ABDUL RAZAK IDRIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Kerajaan disaran memperketatkan kawalan sempadan di seluruh negara bagi mengekang aktiviti penyeludupan ternakan seperti lembu dan kambing terutama menjelang sambutan Hari Raya Aidiladha pada Jun ini.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, aktiviti penyeludupan ruminan tersebut dikesan berleluasa sebelum ini bagi memenuhi permintaan terhadap pelaksanaan ibadah korban.

Menurutnya, tindakan tersebut jika tidak dibendung akan menjejaskan penternak tempatan.

“Pada Hari Raya Aidiladha antara bekalan ternakan yang utama adalah daging lembu dan kambing, namun begitu saya berharap penyeludupan haiwan tersebut dari sempadan dihalang.

“Saya berharap agensi penguatkuasaan dapat melaksanakan kawalan pintu masuk (bagi mengelak lambakan haiwan seperti lembu dan kambing dari negara jiran),” katanya pada Majlis Perasmian Simposium Pengembangan Subsektor Tanaman Jabatan Pertanian 2024, hari ini.

Jelasnya, lambakan haiwan yang diseludup sudah pasti menjejaskan penternak tempatan dari aspek harga memandangkan kambing seludup lebih murah selain berisiko menyebabkan gangguan ke dalam rantaian akibat penyakit.

“Lambakan kambing seludup yang lebih murah akan menjejaskan penternak kita yang memerlukan modal yang besar untuk memberi makan ternakan mereka.

“Bayangkan kambing seludup harganya murah RM280 hingga RM300 sedangkan penternak kita perlu menjual dengan harga RM600. Di Kuala Lumpur dan Lembah Klang harganya mampu mencecah lebih RM1000,” ujarnya.

Sementara itu, dalam perkembangan berasingan, Mohamad Sabu memaklumkan sektor agromakanan negara menunjukkan perkembangan memberangsangkan susulan pelbagai inisiatif program dan inovasi dilaksanakan oleh kerajaan.

Menurutnya pertumbuhan agromakanan kukuh pada 2023 dengan peningkatan 4.3 peratus kepada 181.4 bilion ringgit berbanding 173.9 bilion ringgit pada tahun 2022.

“Sektor agromakanan memberikan sumbangan yang signifikan kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) iaitu 11.6 peratus. Walau bagaimanapun, kita masih berhadapan cabaran dalam menyelesaikan isu bekalan makanan yang bukan sahaja dihadapi oleh negara kita, malahan di seluruh dunia.

“Justeru, penganjuran Simposium Pengembangan Subsektor Tanaman (SPST) yang mengangkat tema Inovasi Pertanian bagi Keterjaminan Makanan ini merupakan salah satu platform untuk memacu transformasi positif sektor agromakanan ke arah pembudayaan inovatif terutamanya bagi memperkasakan sistem pengembangan pertanian dalam subsektor tanaman makanan,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN