Bekalan barangan keperluan cukup sepanjang Aidilfitri - Utusan Malaysia

Bekalan barangan keperluan cukup sepanjang Aidilfitri

MOHD. ZOLKAFLY Harun (tengah) mengacau bubur lambuk pada Program Agihan Bubur Lambuk Ramadan di Kolej Antarabangsa Taj (TIC) di Ipoh hari ini. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Bekalan barangan keperluan di negeri ini dijamin mencukupi sepanjang tempoh sambutan Hari Raya Aidilftri pada minggu hadapan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan negeri, Datuk Mohd. Zolkafly Harun berkata, berdasarkan maklum balas Jabatan Pertanian dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), bekalan barangan seperti ayam, daging, ikan dan sayur tidak berkurangan serta berada dalam keadaan stabil.

Sehubungan itu katanya, orang ramai tidak perlu bimbang mengenai bekalan barangan kerana dijamin mampu menampung keperluan pengguna pada musim perayaan itu nanti.

“Setakat ini memang tidak timbul masalah berkaitan barangan keperluan sama ada bekalan daging, ayam, beras dan minyak. Laporan mengenai kekurangan bekalan juga tidak diterima.

“Insya-Allah, kita jamin bekalannya cukup untuk pengguna khususnya umat Islam menyambut Hari Raya Aidilfitri,” katanya ketika ditemui pada Program Agihan Bubur Lambuk Ramadan di Kolej Antarabangsa Taj (TIC) di sini hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Eksekutif TIC, Tina Tajuddin.

Pada program anjuran TT Group bersama gabungan 10 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu, empat periuk bubur lambuk dimasak dengan lebih 1,000 bekas bubur diedarkan kepada penduduk di sekitar Ipoh.

Mengulas lanjut Mohd Zolkafly berkata, kerajaan negeri melalui FAMA akan mengadakan jualan Agro Madani pra Syawal di Pusat Tranformasi Luar Bandar (RTC) Perak di Gopeng pada 5 April ini.

Katanya, jualan itu memberi fokus kepada barangan keperluan untuk menyambut Aidilfitri termasuk beras, kentang, bawang, aneka biskut raya dan kerepek pada harga berpatutan.

“Ini disusuli jualan khas Aidilfitri di Lenggong pada 7 April di mana kita menyediakan hampir 2,500 ekor ayam yang dijual dengan harga RM10.

“Sebolehnya kita nak adakan jualan sama di semua daerah, namun ada kekangan. Insya-Allah selepas raya nanti, kita teruskan dengan jualan di peringkat daerah dengan penglibatan pelbagai agensi untuk orang ramai mendapatkan barangan lebih murah dan berkualiti,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN