PUTRAJAYA: Banjir besar berpunca daripada Monsun Timur Laut (MTL) dan sering melanda Pantai Timur setiap hujung tahun dijangka merebak ke negeri-negeri lain yang tidak mempunyai pengalaman berhadapan bencana tersebut.
Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Datuk Khairul Shahril Idrus berkata, perkara tersebut disebabkan faktor-faktor cuaca dan geografi sehingga menyebabkan hujan lebat berlaku di negeri-negeri lain.
Menurut beliau, banjir dijangka berlaku bermula November ini sehingga Mac depan, namun tahap keseriusan bencana tersebut tidak dapat diramalkan.
“Kebiasaannya, November atau semasa musim Monsun Timur Laut melanda negeri-negeri Pantai Timur seperti Kelantan, Terengganu dan Pahang namun ada ketikanya disebabkan faktor-faktor cuaca dan geografi menyebabkan hujan lebat boleh berlaku di negeri-negeri lain.
“Ini seperti mana yang berlaku pada 2021 yang menyebabkan banjir amat besar di Shah Alam, Selangor dan beberapa negeri di Pantai Barat. Walaupun kebiasaan mengikut sejarah Monsun Timur Laut akan berlaku di negeri-negeri Pantai Timur sahaja.
“Ada kalanya ia berkemungkinan juga berlaku di negeri-negeri yang tidak mempunyai pengalaman menghadapi banjir berskala besar pada musim tersebut,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di pejabatnya, baru-baru ini.
Bagaimanapun, Khairul Shahril menjelaskan, persiapan sepanjang tahun dibuat untuk berhadapan dengan banjir yang berskala besar bagi tahun ini dan tidak hanya menunggu musim Monsun Timur Laut untuk membuat persiapan.
“Sebelum musim Monsun Timur Laut, latihan amal akan dibuat dengan agensi-agensi responden seperti Polis Diraja Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.
“Ini untuk melihat sejauh mana kesediaan agensi-agensi responden ini untuk bergerak apabila diperlukan.
“Pada masa sama, kita juga mengadakan sesi-sesi libat urus dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk memastikan dari segi koordinasi antara pergerakan mereka dan keperluan di lapangan adalah terselaras dengan pihak berkuasa,” jelasnya.
Tambahnya, tahap kesediaan agensi-agensi responden berada di tahap baik berbanding tahun-tahun terdahulu.
Mengulas lanjut, beliau berkata, NADMA kini menggunakan lebih banyak teknologi dalam menguruskan pengurusan bencana terutama teknologi yang berasaskan geospatial bagi
“Dengan teknologi tersebut, kita mewujudkan satu platform bagi membolehkan NGO-NGO menggunakannya untuk menyelaras pergerakan mereka dan turut boleh mengetahui tentang keperluan di lapangan berdasarkan maklum balas diberi oleh rakan-rakan lain, agensi kerajaan dan penduduk setempat.
“Ia turut membolehkan pihak kerajaan memantau dan menilai tentang situasi bencana di sesuatu kawasan berdasarkan kepada model-model yang kita buat menggunakan sistem tersebut,” jelasnya.
Bagaimanapun, beliau menyedari bahawa dari segi pengurusan bencana terutama sekali banjir, amat sukar untuk mendapatkan pengurusan yang 100 peratus sempurna oleh kerana jangkaan dan keperluan akan sentiasa berubah. – UTUSAN










