3,238 pengundi muda tentu kemenangan PRK Kuala Kubu Baharu - Utusan Malaysia

3,238 pengundi muda tentu kemenangan PRK Kuala Kubu Baharu

Pengundi muda
SUASANA tenang bandar Kuala Kubu Baharu akan bertukar sibuk mulai Sabtu ini apabila penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil kawasan itu berlangsung sehingga ke hari pengundian pada 11 Mei ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Pengundi muda dijangka menyumbang sebanyak 8.05 peratus atau 3,238 undi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) N.06 Kuala Kubu Baharu Mei ini sekaligus menjadi sasaran penentuan kemenangan calon.

Mereka adalah berusia 18 hingga 20 tahun merupakan sebahagian daripada 40,266 pengundi layak keluar mengundi hari pengundian awal, 7 Mei dan pilihan raya pada 11 Mei yang dilihat meningkat sebanyak 251 orang berbanding pilihan raya negeri (PRN) pada Ogos tahun lalu.

Daripada jumlah tersebut juga, pengundi dewasa berusia 21 hingga 59 tahun sebanyak 30,025 orang atau 74.6 peratus sementara warga emas pula seramai 6,963 orang atau 17.31 peratus.

Komposisi mengikut jantina pula menunjukkan jumlah yang seimbang antara pengundi lelaki dan wanita masing-masing seramai 20,117 (50.01 peratus) dan 20,109 (49.99 peratus).

Perkara tersebut dimaklumkan Penolong Pengarah (Komunikasi Strategik) Akademi Pilihan Raya, Nomi Juliana Mohd. Redzuan Min yang memaklumkan sebanyak 20 pusat pengundian akan dibuka pada PRK tersebut termasuk dua pusat pengundian awal.

“Pada hari pengundian awal, pengundi terdiri daripada tentera dan polis masing-masing seramai 238 dan 625 orang termasuk pasangan dan cuma seorang sahaja individu dalam kategori pengundi tidak hadir (PTH). Selebihnya 39,362 akan mengundi pada 11 Mei.

“Pada pilihan raya kali ini, seramai 760 orang akan bertugas membantu kelancaran perjalanan PRK bermula pada hari penamaan calon pada Sabtu ini hingga hari mengundi,” katanya ketika menyampaikan taklimat pilihan raya kepada pemberita, hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan Bandar Utama batang Kali mempunyai jumlah pengundi tertinggi bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu apabila seramai 9,072 pemilih dijangka keluar mengundi nanti.

“Terdapat dua pusat pengundian di sana iaitu Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Batang Kali yang melibatkan 3,183 orang pemilih dan Sekolah Rendah Agama Bandar utama Batang Kali pula seramai 5,889 pemilih.

“Pertak pula menjadi daerah mengundi yang menyaksikan jumlah pemilih terendah iaitu seramai 418 orang yang akan memilih di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) (Cina) Bukit Fraser (Tapak Lama) seramai 40 pemilih, Pusat Pembangunan Pendidikan dan Nutrisi Kanak-Kanak Kampung Pertak (179) dan Tadika Kemas Kampung Gerachi (199),” jelasnya.

Tambahnya, pusat mengundi di SJK Cina Bukit Fraser (Tapak Lama) akan dibuka dari pukul 8 pagi hingga 2 petang, sementara pusat pengundi teramai pula ditutup pada pukul 6 petang.

PRK Kuala Kubu Baharu diadakan selepas penyandangnya Lee Kee Hiong dari Pakatan Harapan (PH) meninggal dunia pada 21 Mac lalu akibat kanser. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN