26,108 lesen peniaga sewa pada warga asing dibatalkan

26,108 lesen peniaga sewa pada warga asing dibatalkan

FUZIAH SALLEH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sebanyak 26,108 lesen peniaga dibatalkan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) pada tahun 2022 selepas didapati menyewakan lesen mereka kepada warga asing.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh berkata, PBT melaksanakan sebanyak 2,031 operasi penguatkuasaan terhadap premis perniagaan yang melibatkan warga asing.

Menurut beliau, pembatalan lesen tersebut dibuat selepas peniaga didapati melakukan pelanggaran syarat-syarat lesen atau permis.

“PBT tidak akan berkompromi dengan sebarang pelanggaran yang jelas terhadap syarat-syarat lesen yang telah dikeluarkan oleh mana-mana perniagaan dan pemegang lesen dengan mengambil tindakan tegas secara tindakan sitaan, kompaun, penutupan premis dan pembatalan lesen,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara, mewakili Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Beliau berkata demikian menjawab soalan Senator Datuk Ahmad Ibrahim yang meminta KPKT menyatakan kesiapsiagaan PBT dalam membasmi masalah kebanjiran peniaga yang tidak berlesen dalam kalangan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang mencemarkan imej kawasan setempat.

Mengulas lanjut, Fuziah berkata, PBT tidak pernah membenarkan mana-mana warga asing untuk memohon mahupun memiliki lesen penjaja dan seumpamanya, selaras dengan Undang-Undang Kecil (UUK) Penjaja dan UUK Tred, Perniagaan dan Perindustrian.

“Di bawah UUK Penjaja, PBT tidak mengiktiraf dan membenarkan warga asing sebagai penjaja dan peniaga kecil. Malahan, PBT juga tidak membenarkan penggunaan warga asing sebagai pekerja/ pembantu di bawah lesen penjaja di premis.

“Ini kerana kadar harga sewaan yang ditetapkan oleh PBT adalah di bawah harga pasaran dan bertujuan untuk memberikan peluang perniagaan kepada rakyat tempatan.

“Di bawah UUK Tred, Perniagaan dan Perindustrian pula, pengeluaran lesen perniagaan hanya dikeluarkan untuk warganegara Malaysia dan membenarkan warga asing diambil bekerja sebagai pekerja atau pembantu dengan syarat memiliki pas kerja/ permit dagang yang sah,” jelasnya.

Tambahnya, PBT komited melaksanakan operasi penguatkuasaan dengan melaksanakan pemantauan secara berkala terutama kawasan tumpuan warga asing, membuat sitaan dan rampan barangan serta menjalankan operasi bersepadu bersama agensi penguatkuasa lain. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN