KUALA LUMPUR: Selepas melebihi 200 hari, kes penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) menempa sejarah tersendiri apabila perbicaraan kes itu turut bersidang pada hari Sabtu.
Ketika ini, terdapat enam hari Sabtu yang ditetapkan untuk perbicaraan kes itu iaitu 27 April, 4 dan 25 Mei serta 1, 8 dan 15 Jun ini.
Untuk rekod, kes tersebut bermula pada 28 Ogos 2019 dan seramai 50 saksi dipanggil memberi keterangan dengan bekas peguam 1MDB, Jasmine Loo Ai Swan merupakan saksi terakhir di peringkat pendakwaan.
Jasmine mula memberi keterangan pada 13 Februari lalu dan selesai memberi keteranganya semalam.
Bagaimanapun kes itu belum boleh ditutup kerana masih terdapat beberapa saksi yang belum selesai disoal balas oleh pembelaan yang diketuai Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, antaranya bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz dan Pegawai penyiasat kes 1MDB, Penguasa Kanan SPRM, Nur Aida Arifin.
Terdahulu, mahkamah mendengar bagaimana Jasmine memasuki Myanmar secara haram sebelum pulang ke Malaysia pada Julai 2023.
Ujarnya, sepanjang berada di Myanmar, ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low membantunya dari segi kewangan dengan memberinya wang berjumlah RM100 juta dan turut menyediakan pasport negara terbabit untuk digunakannya sepanjang 2019 hingga 2023.
Jasmine berkata, dia pada mulanya berdepan masalah memasuki negara itu apabila pasport Malaysia miliknya tidak dicop pada 2019.
Bagaimanapun, dakwanya, Jho Low telah berunding dengan pihak berkuasa Myanmar untuk memberikannya pasport palsu yang membolehkannya menjadi rakyat negara itu sebelum pulang ke Malaysia pada tahun lalu.
Menjawab pertanyaan peguam bela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, Jasmine ingin pulang ke Malaysia bukan kerana takut dibunuh tetapi enggan terjerumus dengan bidang kuasa undang-undang negara luar.
Pada perbicaraan sebelum ini, Jasmine menyuarakan ketakutannya akan menerima nasib yang sama seperti bekas kakitangan PetroSaudi yang juga pemberi maklumat berkaitan salah laku 1MDB, Xavier Andre Justo. – UTUSAN










