PUTATAN: Tindakan Pengerusi Tetap Parti Warisan (Warisan), Datuk Karim Bujang keluar daripada parti tersebut tidak akan melumpuhkan parti.
Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, perkara itu bukan sesuatu yang mengejutkan kerana dalam Persidangan Agung Warisan sebelum ini pun, Karim yang sepatutnya mempengerusikan persidangan itu tidak hadir.
“Jadi, saya yakin dia tidak berapa minat, saya tidak mahu cakaplah. Itu terserah dengan dia (Karim). Dalam gelanggang politik ini, tak jadi masalah (keluar parti)…tiada paksaan.
“Ia tak jadi masalah, bagi kita ia tidak akan melumpuhkan parti kita,” katanya semasa majlis berbuka puasa Warisan Putatan dan penyampaian sumbangan kepada golongan asnaf di sini, semalam.
Ahli Parlimen Semporna berkata, pada masa ini Warisan mahu teruskan usaha membantu dan membela nasib rakyat Sabah.
“Keutamaan adalah bagaimana kita bela rakyat Sabah, keutamaan bukan hanya pemikirannya sebaliknya tindakannya harus jadi pegangan. Itu yang kita tekankan, ada kebebasan itu hak dia,” katanya.
Mengenai kesediaan Warisan sekiranya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengosongkan enam kerusi Parlimen termasuk Labuan, Mohd. Shafie berkata, tunggu dahulu sehingga bubar baru Warisan akan putuskan ingin bertanding mahupun tidak.
Katanya, ketika ini kerusi Parlimen Labuan belum lagi dikosongkan jadi, Warisan belum boleh putuskan.
Mengulas tentang keadaan kemarau dan masalah air yang sedang berlaku, beliau berkata, sempena majlis berbuka puasa itu, mereka turut menunaikan solat hajat agar diturunkan hujan.
“Kita berusaha memohon kepada Allah agar diturunkan hujan supaya dapat meringankan bebanan rakyat yang berhadapan dengan masalah air di seluruh negeri Sabah. Perkara ini perlu ada penyelesaian yang harus diberi keutamaan bukan hanya pemimpin di peringkat negeri Sabah tetapi juga, peringkat Pusat,” katanya.
Karim bertindak keluar daripada Warisan dan menyertai Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) pada 17 Mac lalu.
Di bawah parti Warisan, Karim pernah diberi peluang menjadi calon bagi kerusi Parlimen pada 2018 namun tewas kepada bekas Menteri Luar, Tan Sri Anifah Aman.
Kemudian, apabila kemenangan Anifah yang mewaliki UMNO/BN dibatalkan oleh Mahkamah Pilihan Raya, Karim sekali lagi dicalonkan oleh Warisan semasa Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis pada Januari 2020. -UTUSAN










