DUNGUN: Seorang wanita warga emas bersama cucu perempuannya maut manakala menantunya cedera parah dalam kemalangan di Kilometer 362.3, Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) berhampiran Bukit Besi, di sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1.40 tengah hari, Kelsom Abdullah, 86, dan cucunya, Fatin Zulailahuda Zulkifli, 20, meninggal dunia di lokasi kejadian ekoran kecederaan parah di beberapa anggota badan dan kepala.
Menantu mangsa, Hayati Muda, 51, pula cedera parah di beberapa tangan kiri dan beberapa anggota badan, dikejarkan ke Hospital Dungun.
Ketua Polis Daerah Dungun, Superintenden Maizura Abdul Kadir berkata, difahamkan, ketika kejadian, warga emas yang juga orang kelainan upaya (OKU) kategori penglihatan itu sedang bersama anak dan menantu serta dua cucunya sedang dalam perjalanan dari kediaman anaknya di Chukai, Kemaman untuk dihantar pulang ke rumahnya di Manir, Kuala Terengganu.
“Kejadian dipercayai berlaku apabila kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Naza Citra yang dipandu anaknya, Zulkifli Ismail, 57, tiba-tiba hilang kawalan dan melanggar besi penghadang kiri lebuh raya.
“Kenderaan itu kemudiannya terbabas semula masuk ke lorong kanan dan terlanggar besi pembahagi lebuh raya,” katanya.
Maizura berkata, Kelsom yang duduk di tempat duduk penumpang belakang dipercayai tercampak keluar dari kenderaan itu dan meninggal di lokasi kejadian.
“Fatin Zulailahuda pula disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian ketika pasukan perubatan memberikan rawatan kecemasan,” katanya.
Menurutnya, Zulkifli dan anak lelakinya, Muhammad Zul Adli, 22, hanya mengalami cedera ringan.
“Mangsa yang cedera dibawa ke Unit Kecemasan Hospital Dungun untuk menerima rawatan manakala dua mayat mangsa dibawa ke unit forensik hospital sama untuk tindakan lanjut,” katanya.
Maizura berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN










