Tinggal jauh di pedalaman , murid mendaftar awal di SK Buayan

Tinggal jauh di pedalaman , murid diarah mendaftar sehari lebih awal di Sabah

sabah
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Ketika murid sekolah lain teruja memulakan hari pertama persekolahan semalam, murid Sekolah Kebangsaan (SK) Buayan pula berhadapan dengan situasi berbeza.

Sejak Ahad, kesemua 34 murid di sekolah kurang murid (SKM) yang berada di pedalaman Penampang itu mula masuk ke asrama.

Memuatkan artikel berkaitan…

Jarak antara rumah dan sekolah yang agak jauh, iaitu memerlukan sehingga dua jam perjalanan merentasi hutan belantara menyebabkan semua murid diarahkan masuk ke sekolah sehari lebih awal berbanding sekolah lain.

Rozielia Linda, 23, berkata, adik sepupunya Riana Lorna Rayner yang berusia tujuh tahun dan abangnya Reckjery Rayner, 12, terpaksa tinggal di rumahnya sejak Jumaat bagi membolehkan mereka masuk ke asrama pada Ahad.

Katanya, Riana dan abangnya, Reckjery tinggal di Kampung Timpiyasa yang perlu berjalan kaki meredah laluan tanah merah dan sungai selama dua jam untuk sampai ke sekolah.

Namun, pada Jumaat lalu, mereka menumpang kenderaan orang kampung untuk datang ke Kampung Buayan untuk bermalam dirumahnya.

“Ibu bapa Riana terpaksa ke Pekan Donggonggon untuk mengurus kakak mereka yang masuk tingkatan satu jadi, saya yang membantu urusan pendaftaran mereka semalam,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Katanya, memandangkan Riana tidak biasa berpisah dengan keluarga maka, agak sukar bagi anak kecil itu ditinggalkan di asrama sendirian. Jadi, dia dan guru sekolah itu terpaksa memujuk Riana untuk tinggal di asrama.

Sementara itu, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (HEM) SK Buayan, Zeabenia Mositol, 50, berkata, kebanyakan murid di sekolah itu perlu berjalan kaki ke sekolah selama sejam hingga dua jam perjalanan.

Jadi, untuk memudahkan ibu bapa, pihak sekolah meminta kesemua murid dihantar ke asrama sehari lebih awal.

“Pada tahun ini seramai 34 murid yang bersekolah di sini termasuk enam murid tahun satu. Kadang-kadang sedih juga apabila melihat ada murid terpaksa berpisah dengan ibu bapa sejak berusia tujuh tahun.

“Pada usia yang begitu muda, mereka terpaksa tinggal di asrama bersendirian atau bersama abang dan kakak mereka. Kalau ada murid tahun satu yang menangis sebab tidak ingin berpisah dengan ibu bapa mereka, itu sudah lumrah.

“Jadi, kami akan cuba pujuk mereka perlahan-lahan sehingga mereka boleh sesuaikan diri tinggal di asrama. Situasi sebegini biasanya berlanjutan beberapa bulan, selepas itu mereka sudah boleh sesuaikan diri,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini