KANGAR: Perlis menyasarkan lebih 10 kilauan pingat emas pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) 2024 di Sarawak yang akan berlangsung pada 17 hingga 24 Ogos ini.
Antara sukan yang dilihat menjadi prospek pingat emas buat kontinjen negeri ini antaranya seperti silat, taekwando, berbasikal, pentanque, boling padang dan beberapa lagi.
Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli berkata, bagi mencapai sasaran itu, semua atlet yang bakal mewakili negeri ini perlu berusaha lebih keras dalam tempoh enam bulan akan datang bagi memastikan sasaran itu mampu dicapai.
Beliau juga berharap Perlis dapat memecah rekod dan para atlet terus bersemangat bagi mengharumkan nama negeri ini pada temasya Sukma tersebut.
“Semangat untuk mewakili negeri dan mengharumkan nama negeri yang kita tanamkan dalam hati para atlet ini. Jati negeri akan wujud dalam diri mereka sendiri bagi mencapai kejayaan di temasya berkenaan.
“Kita harap Perlis dapat pecah rekod berbanding tahun sebelum ini diharap para atlet akan lebih bersemangat dan Insya-Allah saya akan cuba hadir pada temasya nanti bagi memberi semangat kepada atlet,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penghargaan Atlet Perlis 2023 dan Pelancaran Road To Sukma dan Para Sukma Sarawak 2024 di Dewan Warisan di sini semalam.
Pada majlis tersebut, kerajaan negeri meraikan 225 atlet Perlis daripada 19 jenis sukan berbeza yang berjaya menaiki podium di kejohanan kebangsaan pada tahun lalu.
Selain itu, empat daripada enam atlet Perlis yang menyertai Kejohanan Sukan Asia Hangzhou 2022 dan Sukan Para Asia Hangzhou 2022 turut diberikan insentif daripada kerajaan negeri susulan kejayaan mereka membawa pulang pingat buat negara.
Malah sebagai suntikan semangat, kerajaan negeri turut memberikan insentif tambahan kepada empat atlet terlibat dengan jumlah keseluruhan RM20,000.
Pada majlis sama, Mohd Shukri juga melancarkan Tabung Sukan Negeri Perlis bagi membantu pembangunan sukan di negeri ini.
Dalam temasya Sukma 2022 Perlis memperolehi enam pingat emas, 2018 (12 emas), 2016 (9 emas) dan Sukma 2014 meraih 12 emas.
Sementara itu, Pengerusi Pembangunan Belia dan Kemajuan Sukan negeri, Wan Zikri Afhtar Ishak sewaktu ucapannya berkata, kontinjen Perlis bakal mengambil bahagian dalam 29 jenis sukan pada temasya Sukma nanti.
Katanya, kekuatan kontinjen dari negeri ini juga dianggarkan seramai 555 orang terdiri daripada 374 orang atlet, 29 orang pengurus, 83 orang pegawai dan 67 urus setia.
“Pelancaran Road to Sukma Sarawak 2024 ini juga adalah satu program yang dilihat mampu membangkitkan semangat kenegerian anak Perlis dan menyatakan sokongan mereka kepada atlet sewaktu temasya tersebut,” katanya.-UTUSAN










