Seludup rokok: Pemilik, pengarah syarikat ditahan reman

Seludup rokok: Pemilik, pengarah syarikat ditahan reman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman dua lagi individu membabitkan pemilik dan pengarah syarikat kerana disyaki bersekongkol dengan sindiket penyeludupan rokok serta arak secara haram melalui pintu masuk negara.

Perintah reman selama tiga hari sehingga 28 Mac ini terhadap kesemua suspek dikeluarkan oleh Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini.

Menurut sumber, kedua-dua suspek dipercayai berperanan sebagai pengumpul akaun-akaun keldai bagi pihak sindiket untuk digunakan membayar wang rasuah kepada penjawat-penjawat awam yang terlibat memberi pelepasan kontena yang mengandungi rokok dan arak tanpa melalui pemeriksaan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Katanya, mereka juga dipercayai turut menjalankan kegiatan haram lain seperti perjudian secara online dan menjadi orang tengah bagi mencari khidmat ‘forwarding agent’ bagi kegunaan sindiket-sindiket haram di negara ini.

Sebagai orang tengah, kedua-dua suspek ini disyaki turut membayar wang antara RM500 hingga RM1,000 kepada mana-mana individu yang boleh memberikan dokumen pengenalan diri untuk didaftarkan sebagai pemilik kepada syarikat palsu (bogus).

“Susulan Op Samba 2.0 yang dijalankan sejak dua minggu lalu, Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML), semalam menahan 14 lagi individu terdiri daripada 12 penjawat awam dan pemilik serta pengarah syarikat ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM.

“Seramai 12 penjawat awam dibebaskan selepas keterangan mereka dirakam, manakala pemilik dan pengarah syarikat berkenaan ditahan reman bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan,” katanya.

Dalam operasi khas yang dijalankan bersama Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Bank Negara Malaysia (BNM), sehingga kini SPRM menahan 34 penjawat awam dan sembilan orang awam yang dipercayai terbabit sindiket berkenaan sejak tahun 2018 hingga 2023.

Sindiket ini dipercayai menggunakan modus operandi dengan menggunakan akaun keldai bagi melakukan transaksi pembayaran wang rasuah kepada penjawat awam yang bersekongkol dengan mereka.

Selain itu, sindiket ini juga dikesan terbabit aktiviti pengubahan wang haram dengan mencuci duit menggunakan akaun perniagaan ‘syarikat hantu’ dan juga melalui pengurup wang.

Sementara itu, Pengarah AML SPRM, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin ketika dihubungi mengesahkan penahanan reman dua suspek tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 17 (b) Akta SPRM 2009. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini