PETALING JAYA: Malaysia menggesa resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) yang antaranya membabitkan gencatan senjata di Gaza dilaksanakan dengan segera.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia dan seluruh rakyatnya menyokong resolusi itu yang turut melibatkan pembebasan semua tebusan selain penyegeraan bantuan kemanusiaan di wilayah itu.
“Kita mesti segera melegakan kesakitan dan penderitaan yang dihadapi penduduk Gaza selama hampir enam bulan.
“Khususnya, Amerika Syarikat (AS) mesti mengatasi sekutunya menghormati kehendak komuniti antarabangsa untuk mematuhi gencatan senjata serta membenarkan segera kemasukan bantuan kecemasan secara besar-besaran,” katanya dalam kenyataan,
Resolusi UNSC semalam diluluskan selepas semua 14 ahli majlisnya termasuk Russia dan China mengundi bersetuju.
AS pula mengambil pendirian berkecuali dan tidak menggunakan kuasa veto menghalang resolusi itu.
Dalam pada itu, Anwar memuji keberanian dan komitmen terhadap kemanusiaan ahli majlis yang dipilih itu.
“Malaysia kekal komited kepada perjuangan Palestin dan akan meneruskan usaha untuk penubuhan sebuah negara yang merdeka dan berdaulat Palestin.
“Ia berdasarkan sempadan sebelum 1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai sempadannya, serta kemasukan Palestin sebagai ahli penuh PBB,” katanya. – UTUSAN










