‘Hidup kena bermuka-muka, kawan. Kita ini orang susah, kita tak ada kemewahan nak jadi diri sendiri’
Mungkin antara dialog dalam drama terbaharu lakonan Naim Daniel, I.D yang paling menggugah. Ia membuat kita terdiam kerana ada penafian dan kebenaran bercampur untuk ditelan. Kata-kata itu saya bawa ke depan, membincangkannya bersama Naim di suatu petang.
Naim, yang selalu memberikan aura ‘sahabat terpisah yang kembali bersua’ itu mudah membuat sesiapa pun selesa. Mungkin saya yang terlalu bernostalgia memandangkan dia individu awal yang menjadi subjek temu ramah dan penulisan saya semasa mula bekerja. Waktu itu dia belum popular dan tidak mempunyai pengikut melebihi sejuta.
“Saya pernah nak padamkan identiti seorang Naim Daniel,” akuinya. Saya mengangkat kening, terkejut semestinya, namun enggan menghalangnya bercerita.

Jejaka kelahiran Kuala Lumpur itu sudah bergelar pelakon sejak di sekolah rendah. Selepas sedekad, Naim mula menggunung rasa hampa, merasakan karier lakonannya biasa-biasa sahaja.
Tidak ada yang berkembang. Dia hanya akan diingati sebagai pilihan kedua atau pelakon ganti kalau-kalau ada yang buat hal mengundur diri. Hendak merangkul apa-apa anugerah jauh sekali.
“Masuk sahaja belajar muzik di Universiti Teknologi MARA, Shah Alam, saya berikan nama yang baru kepada diri saya iaitu Andy.
“Semua orang di sana memanggil saya dengan nama itu. Saya enggan dikenali sebagai pelakon. Industri seni pun bukannya perlukan saya. Setiap apa yang saya lakukan bagai buang masa.
“Namun entah mengapa ketika kerjaya nyanyian saya diterima baik, dunia lakonan bagai memanggil saya kembali. Filem Bisik Pada Langit dan drama Pia meledak dan orang-orang mula memberi tumpuan kepada saya.
“Ketika itu saya ambil keputusan untuk tidak memilih. Saya bawa kedua-dua kerjaya ini berjalan sekali,” jelasnya.

Kata orang, jika kita cukup degil mendapatkan sesuatu, semesta akan mengalah dan memberikan apa yang kita inginkan. Cuma, adakah kita bersedia menerima semua keinginan itu?
“Pada usia yang sangat muda, 21 tahun, saya bergelar pemenang untuk Anugerah Juara Lagu ke-34. Pertama kali dalam hidup, saya menerima beribu mesej, wajah saya terpampang di dada akhbar juga disiar dengan kerap di televisyen.
“Saya sangat terkejut. Saya menangis di bilik dan tidak mahu keluar rumah.
“Populariti membuatkan pandangan orang terhadap kita tidak lagi sama. Setiap apa yang kita cakap, orang akan percaya. Akhirnya saya sedar, populariti bukan kuasa, tapi sumpahan.
“Rupanya 16 tahun di dalam industri hanyalah latihan agar saya tidak terlalu terkejut dengan perhatian sebegitu. Juga saya sangat bersyukur kerana didampingi orang-orang baik yang selalu mengingatkan untuk merendah hati,” tambahnya.
Apa lagi yang lebih sunyi
Ketika populariti semakin memuncak, ramai selebriti akan lebih berjaga-jaga kerana lebih ramai yang memerhati gerak-geri. Setiap apa diucap akan ditapis. Setiap perkongsian media sosial hanya yang manis-manis.
“Sunyi sebenarnya jika kita hidup untuk puaskan hati semua orang. Media sosial adalah cara saya keluar daripada ‘sistem selebriti’ itu dan bebas menyuarakan pendapat yang saya miliki.
“Ada yang mengatakan saya lantang, tapi saya tidak pernah meminta sesiapa bersetuju dengan apa yang saya katakan.
“Saya tahu, kata-kata saya tidak boleh mengubah dunia. Tapi memadailah jika pendapat saya boleh membuat seseorang berfikir,” katanya.

Tahun ini, sudah 19 tahun Naim bergelar anak seni. Adakalanya, dia merasakan dirinya dilayan tidak ubah seperti produk dan bukannya manusia.
“Bila kita lakukan sesuatu perkara itu berulang kali, kita akan anggap ia rutin. Pernah suatu masa ketika sedang membuat persembahan, saya lupa lirik. Saya sangat kecewa dan menangis kerana bernyanyi adalah perkara yang saya cintai.
“Akhirnya saya tahu, ada perkara yang tidak lengkap dalam hidup ini, iaitu makna. Persembahan selepas itu, saya kembali bernyanyi dengan gitar merah yang diberikan tuan kedai semasa saya bekerja selepas sekolah.
“Ada banyak kenangan saya dengan gitar itu. Saya memulakan perjalanan menjadi penyanyi dengannya. Bermula dari temu duga sekolah muzik sehinggalah menghasilkan lagu-lagu saduran di media sosial bertahun-tahun,” dedahnya.
Raya sebuah nostalgia
Mendekati lebaran, Naim mengimbau kembali nostalgia hari raya semasa tinggal di sebuah kondominium di Kuala Lumpur. Apa yang menarik, dia dan rakan-rakan rajin bertukar-tukar kad raya sesama mereka.
“Dulu kita kumpul duit lepas sekolah untuk belikan kad raya buat kawan-kawan. Bukan hanya tulis, malah kita gigih turun setiap rumah dan selitkan di bawah pintu.
“Lagi gembira kalau kita dapat kad raya yang siap ada muzik. Siapa yang dapat kad paling banyak, dialah pemenang.
“Kini dengan adanya teknologi, orang semakin melupakan tradisi itu. Bila mesej dihantar terlalu mudah, kita jadi kurang menghargai. Namun saya bersyukur kerana pernah melalui memori hari raya yang indah sebegitu,” katanya.










