PUTRAJAYA: Seorang penjawat awam terpaksa membatalkan segala tempahan biskut raya pelanggannya apabila kediamannya di Presint 17 di sini musnah dijilat api dalam kebakaran pagi Jumaat lalu.
Pembantu pustakawan, Nur Hidayah Alias, 45, berkata, dalam kejadian pukul 9.30 pagi itu, lebih 80 peratus unit apartment miliknya hangus terbakar menyebabkan kerugian lebih RM80,000.
Dia yang ditemui hari ini berkata, segala peralatan membuat biskut termasuk tiga buah ketuhar pembakar turut musnah dalam kebakaran itu.
“Biasanya pada bulan Ramadan saya akan mengambil tempahan biskut raya. Namun, kali ini saya terpaksa batalkan semua tempahan pelanggan.
“Pada bulan-bulan lain pula saya ambil tempahan roti dan kek,” katanya ketika ditemui selepas menerima kunjungan Setiausaha Politik Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim di sini, hari ini.
Dalam kejadian di Perumahan Penjawat Awam Malaysia (PPAM) Selasih, Presint 17 itu, sebuah unit apartment musnah akibat kebakaran, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Sementara itu, suami Nur Hidayah, Zul Izmal Mohd Bakir, 45, yang juga Pembantu Penerangan di Jabatan Penerangan berkata, ketika kejadian, dia dan isteri serta lima orang anak berusia 16 hingga 3 tahun tiada di rumah.
Menurutnya, ketika kejadian itu, hanya anak saudaranya sahaja berada di dalam rumah, namun tidak mengalami apa-apa kecederaan.
“Dia (anak saudara) cuba menyelamatkan diri dengan berlindung di dalam bilik air sebelum berjaya diselamatkan anggota bomba dan penyelamat,” katanya.
Katanya, ketika ini, dia sekeluarga menyewa di unit apartment berdekatan sementara berpindah ke rumah transit milik Perbadanan Putrajaya (PPj) di Presint 11, di sini.
Jelasnya lagi, semua persiapan sekolah empat anaknya hangus terbakar dalam kejadian itu namun, dia bersyukur kerana Biro Pendidikan UMNO Putrajaya sudi menanggung semua keperluan itu.
Zul Izmal berkata, buat masa ini, dia sekeluarga tidak fikir lagi untuk melengkapkan keperluan Aidilfitri kerana masih terkejut dengan insiden kebakaran itu.
“Sambutan Ramadan dan Syawal tahun ini kami sambut ala kadar sahaja,” katanya. – UTUSAN











