PUTATAN: Ahli Parlimen Putatan, Datuk Shahelmey Yahya masih belum memutuskan untuk menyertai mana-mana parti sekiranya beliau ingin bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Beliau yang digantung selama enam tahun oleh UMNO bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai hala tuju politiknya menjelang PRN Sabah.
“Sekiranya saya membuat keputusan untuk bertanding pada PRN dan menggunakan parti lain maka, itu menyebabkan saya mengaktifkan Akta Anti Lompat Parti sebab sekarang saya juga adalah Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN).
“Apa yang Datuk Bung (Datuk Seri Bung Moktar Radin) kata undang-undang adalah undang-undang. Tapi, kita ada masa setahun setengah lagi untuk menemui saat dan ketika tersebut,” katanya semasa program tinjauan mesra di Bazar Ramadan Puatatan, semalam.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Keramat berkata, pada masa ini beliau ingin memberi fokus untuk bekerja dan menunaikan mandat yang telah diberi oleh rakyat.
Apabila sampai waktu untuk pilihan raya nanti maka, beliau akan membuat keputusan yang sewajarnya.
Pada Sabtu lalu, Bung Moktar yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah menyatakan kerusi Parlimen Putatan perlu dikosongkan sekiranya Shahelmey memutuskan untuk bertanding pada PRN akan datang.
Menurut Bung Moktar, keputusan ditangan Shahelmey, jika dia memutuskan untuk bertanding maka, dia perlu mengikut peraturan, dia kena meletak jawatan selaku ahli Parlimen.
Pada 18 Mac tahun lalu, UMNO memutuskan menggantung keahlian Shahelmey selepas beliau bertindak menyokong kepimpinan Datuk Seri Hajiji Noor sebagai Ketua Menteri semasa berlaku Langkah Kinabalu.
Tindakan tersebut telah membelakangkan keputusan UMNO Sabah yang memutuskan untuk menarik sokongan daripada kerajaan pimpinan Hajiji pada 6 Januari 2023.
Selain Shahelmey, turut berhadapan tindakan disiplin kerana menyokong Hajiji pada masa itu adalah Datuk James Ratib (Sugut), Datuk Mohd. Arsad Bistari (Tempasuk) dan Datuk Jasnih Daya (Pantai Dalit).
Namun, ketiga-tiga ADUN tersebut bersama seorang lagi ADUN UMNO Hamild @ Hamid Awang (Balung) bertindak menyertai Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) dan kemudiannya dipecat daripada UMNO.
Pada PRN Sabah yang lalu, BN/UMNO memenangi 14 kerusi DUN serta dua ADUN Lantikan namun selepas empat ADUN itu keluar parti, UMNO hanya mempunyai 12 kerusi DUN termasuk dua kerusi ADUN Lantikan.-UTUSAN










