PRN: PH Sabah belum putuskan rakan kerjasama

PRN: PH Sabah belum putuskan rakan kerjasama

GRS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Pakatan Harapan (PH) Sabah belum memutuskan rakan kerjasama strategik bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Setiausaha PH Sabah, Datuk Mustapha Sakmud berkata, setakat ini belum ada keputusan dibuat mengenai rakan kerjasama secara rasmi namun PH agak selesa dan serasi dengan pentadbiran Datuk Seri Hajiji Noor yang menerajui Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Menurutnya, proses rundingan antara komponen parti dalam PH akan dimulakan dalam masa terdekat melalui Jawatankuasa Khas Rundingan Kerusi PH Sabah.

“Selepas itu, barulah rundingan akan dibuat dengan gabungan parti atau parti-parti yang ingin bekerjasama dengan PH dalam membangun negeri Sabah berdasarkan acuan reformasi dan agenda perubahan.

“Namun, PH berharap apabila mempunyai rakan kerjasama, agihan kerusi dapat dibuat secara adil agar kerjasama strategik dapat direalisasikan.

“Komponen PH ingin mengemukakan lebih ramai calon-calon yang berwibawa agar dapat membantu mempercepatkan proses pembangunan dan kesejahteraan rakyat negeri ini,” katanya.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi itu berkata, buat masa ini, PH Sabah ingin memberi fokus dengan agenda pembangunan negeri dan kesejahteraan rakyat bersama kerajaan negeri GRS sehingga Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan.

Mengulas tentang persediaan menghadapi PRN, Mustapha berkata, parti-parti komponen sedang meneliti kerusi-kerusi yang berpotensi berdasarkan kekuatan parti masing-masing dan memantapkan jentera pilihan raya.

Ahli Parlimen Sepanggar itu berkata, pada prinsip asasnya, PH mahu PRN nanti tidak menjejaskan kestabilan Kerajaan Pusat dan mengekalkan pentadbiran cemerlang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Kami juga akan memastikan kerjasama strategik itu nanti meliputi kuota-kuota lantikan politik dan jawatan-jawatan akar umbi agar mencerminkan gagasan Malaysia Madani dan budaya keharmonian serta kesepakatan citra Sabah,” katanya.

Pada PRN Sabah 2020, PH bekerjasama dengan Parti Warisan (Warisan) sebelum Warisan bertindak memutuskan kerjasama dengan PH pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) yang lalu.

Ketika berlaku kemelut politik dikenali sebagai Langkah Kinabalu pada Januari tahun lalu, PH Sabah mengambil pendekatan menyokong kepimpinan Hajiji Noor selaku Ketua Menteri. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×