PUTRAJAYA: Kakitangan Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) sekali lagi tampil mengagihkan kira-kira 3,000 pek bubur lambuk kepada orang ramai di premis itu.
Program tahunan yang kali ini bertemakan Cita Rasa Klasik Bubur Lambuk itu diadakan bermula pukul 4 petang pada hari ini bersempena dengan ketibaan tarikh 1 Ramadan.
Menurut Ketua Eksekutif Kumpulan Putrajaya Leisure and Services Sdn. Bhd. (PULSE Group), Mahmad Anuar Othman, acara pemberian itu sudah menjadi tradisi sejak 2015.
“Pengagihan secara pandu lalu ini dianjurkan bersama pihak pengurusan kami dengan anak syarikat Convention and Exhibition (Putrajaya) Sdn. Bhd. atau Co-X,” katanya lagi.
Amalan pemberian secara percuma itu jelasnya, malah akan diteruskan pada masa depan sebagai tradisi PICC menyambut kedatangan bulan puasa bersama komuniti Putrajaya.
Apatah lagi kata beliau, juadah pencuci mulut kegemaran ramai umat Islam di negara ini juga antara menu istimewa disediakan khas barisan cef berpengalaman PULSE Group.
Selain itu tambah Mahmad Anuar, program pengagihan bubur lambuk tersebut adalah sebahagian inisiatif tanggungjawab sosial korporat mereka agar mendekati masyarakat.
Bagi tujuan itu jelasnya, sejumlah 150 kilogram beras dan lebih 15 kilogram daging kisar digunakan sebagai ramuan utama bubur berkenaan yang dimasak dalam enam periuk.
Pada masa sama, PICC turut mempromosikan bufet Ramadan berkonsepkan tema Cita Rasa Klasik dengan kira-kira 250 menu warisan Melayu di ruang legar aras concourse.
Sajian tersebut merangkumi makanan popular rakyat Malaysia seperti Rendang Pak Man dengan harga ditawarkan hanya RM108 untuk dewasa dan RM54 bagi kanak-kanak. – UTUSAN










