Perut bulat bakar menu buruan berbuka puasa

Perut bulat bakar menu buruan berbuka puasa

RUZAIZI Mohd. Zaid menunjukkan perut bulat bakar yang dijual di gerai Restoran Singgang Budu di Bazar Ramadan Shahbandar, Kuala Terengganu, semalam. - UTUSAN/KAMALIZA KAMARUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Perut bulat bakar yang dijual di gerai Restoran Singgang Budu di Bazar Ramadan Shahbandar di sini, menjadi menu buruan orang ramai sebagai juadah berbuka puasa pada Ramadan ini.

Pekerja restoran tersebut, Ruzaizi Mohd. Zaid berkata, setiap hari, sebanyak 100 kilogram perut bulat dibakar di bazar Ramadan itu untuk memenuhi permintaan pelanggan.

Katanya, menu tersebut adalah antara hidangan wajib yang dimakan oleh pelanggan Restoran Singgang Budu selama ini dan mereka tetap mencarinya untuk dijadikan hidangan berbuka puasa.

“Seawal pukul 3.30 petang, saya mula membakar perut bulat ini dan pembeli yang datang memang teruja melihatnya kerana bukan semua tempat ada menjual perut bulat.

“Kebanyakan pembeli terutama kanak-kanak dan pelancong daripada luar negara memang ralit tengok proses pembakaran perut bulat ini.

“Ada yang ambil gambar dan rakam video untuk dimuat naik dalam media sosial masing-masing kerana menu perut bulat bakar memang unik dan jarang didapati,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini semalam.

Katanya, harga perut bulat bakar tersebut dijual RM15 untuk setiap 100 gram dan setiap pelanggan diberikan sos sambal hijau ala Thai sebagai pelengkap hidangan.

“Ramai yang pertama kali mencuba perut bulat bakar ini pada bulan Ramadan dan datang semula beberapa hari selepas itu kerana terpikat dengan keenakannya,” katanya.

Tambahnya, restoran tersebut turut menyediakan ‘lamb shank’ sebagai menu istimewa di bazar itu, selain lebih 40 jenis air balang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN