Pemandu lori maut kemalangan tiga kenderaan - Utusan Malaysia

Pemandu lori maut kemalangan tiga kenderaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAMAN: Seorang pemandu lori maut dalam kemalangan membabitkan tiga buah kenderaan di Kilometer 329.8, Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2), berhampiran Kerteh, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2.35 pagi,
Magendiran Ranganathan, 52, yang berasal dari Kuantan, Pahang, meninggal dunia di lokasi kejadian ekoran kecederaan parah di kepala dan badan.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, sebelum kejadian, lori jenis Isuzu Kargo tiga tan, muatan baja yang dipandu Magendiran dari arah Kuantan menghala ke Kuala Terengganu, dipercayai telah merempuh sebuah lori Isuzu satu tan, yang dipandu seorang lelaki berusia 32, dari arah sama.

“Rempuhan itu menyebabkan lori Isuzu satu tan itu hilang kawalan dan terbalik di sebelah lorong kanan, manakala pemandu yang berasal dari Marang, Terengganu tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Magendiran kemudiannya memberhentikan kenderaannya di sebelah kiri bahu jalan dan turun untuk membantu pemandu lori yang dirempuhnya dan dalam masa sama, pemandu lori itu selamat keluar dari kenderaan,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Hanyan berkata, secara tiba-tiba datang sebuah Ford Ranger yang dipandu seorang pelombong bijih besi berusia 35 tahun, dari arah sama tidak sempat mengelak dan terlanggar lori yang berada di lorong kanan lebuh raya.

“Ekoran rempuhan itu, lori tanpa muatan itu telah terseret dan terkena Magendiran yang sedang membantu pemandu lori.

“Rempuhan tersebut turut menyebabkan pemandu Ford Ranger yang berasal dari Kampung Sungai Buaya, Dungun itu cedera parah di bahagian kaki dan dada,” katanya.

Hanyan berkata, mangsa yang cedera telah dihantar ke Unit Kecemasan Hospital Dungun untuk rawatan manakala mayat Magendiran dibawa ke Unit Forensik Hospital Kemaman untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN