Patin masak tempoyak jadi tarikan

Patin masak tempoyak jadi tarikan

ZAMBRY Ahmad (kiri) menunjukkan hidangan menu istimewa ikan patin masak tempoyak yang dijualnya di Bazar Ramadan Bandar Baru Nilai, Seremban, Negeri Sembilan. - UTUSAN/NUR SHARIEZA ISMAIL.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Bagi penggemar lauk ikan patin masak tempoyak, mereka boleh mengunjungi Bazar Ramadan Bandar Baru Nilai di sini bagi mendapatkan juadah tersebut yang dijual pasangan suami isteri, Zambry Ahmad, 36, dan Nurul Zarith Sofea Mohd. Khairul Anuar, 31.

Zambry memberitahu, masakan di gerai NZ Patin Tempoyak Original Temerloh menjadi satu-satunya yang dijual di bazar Ramadan tersebut.

“Maklum balas yang diterima daripada pelanggan cukup memberangsangkan dan mereka berpuas hati dengan menu masakan patin tempoyak asli. Walaupun masakan ini sangat popular di Pahang, semakin ramai menggemarinya terutama dari negeri lain.

“Orang yang tidak pernah makan ikan patin pun jika mencuba sekali pasti menginginkannya lagi kerana isi ikan patin lembut, empuk dan tidak berbau hanyir meskipun kuah pekat tempoyak dituang dalam pinggan berisi nasi kosong.

“Ini adalah pertama kali saya berniaga di bazar Ramadan ini dan membawa menu hidangan yang jarang peniaga lain jual. Alhamdulillah, kehadiran kami membawa menu hidangan ini diterima ramai dan ada yang menyatakan terubat rasa rindu pada masakan kampung mereka di Pahang pada bulan puasa ini,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.

Katanya lagi, dia menggunakan resipi turun-temurun daripada bapa mentuanya, Mohd. Khairul Anuar Mohd. Nasir yang merupakan anak jati Temerloh dan kemudian diolah oleh dia dan isteri.

“Bahan dalam masakan yang kami pentingkan adalah tempoyak yang baik bagi menaikkan rasa. Ikan patin yang kami gunakan pula adalah ikan patin sangkar Sungai Temerloh yang kami peroleh daripada pembekal di sana,” katanya.

Zambry sambil itu memberitahu, dia mengenakan harga sekitar RM16 untuk potongan ikan patin yang anggaran saiznya mencapai lebih sekilogram.

“Walaupun harga kos barangan mahal, kami tetap mengenakan harga yang sama bagi membolehkan penggemar ikan patin merasai hidangan ini,” katanya yang akan menyediakan dua periuk penuh hidangan dengan anggaran 20 ekor ikan patin digunakan untuk jualan setiap hari. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN