KUALA LUMPUR: Notis merah gagal dikeluarkan terhadap pemilik Facebook, Ganesparan Nadaraja ekoran kesalahan membabitkan isu agama dan perkauman tidak tersenarai dalam Artikel 3, Polis Antarabangsa (Interpol).
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebelum ini pernah membuat permohonan notis merah kepada Interpol terhadap lelaki tersebut.
“Bagaimanapun, kesalahan yang dilakukannya berkaitan agama dan perkauman tidak diletakkan dalam Artikel 3, Interpol.
“Justeru, kita mengambil tindakan lanjut dengan meminta Jabatan Imigresen Malaysia untuk membatalkan pasport milik Ganesparan pada November 2020,” katanya dalam sidang akhbar di Bukit Aman, hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd. Shuhaily berkata, Ganesparan tidak pernah pulang ke Malaysia sejak dikesan meninggalkan negara ini pada 2017.
Jelas beliau, sebanyak 22 kertas siasatan dibuka terhadap lelaki warga tempatan tersebut berkaitan kesalahan menghina institusi diraja (3R), agama dan kaum (3R) dari 2017 hingga tahun ini.
“Ganesparan juga pernah didakwa secara in absentia pada 2022 kerana menghina bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
“Berkaitan video tular baru-baru ini, kita percaya ia dimuat naik dari luar negara. Kita akan perkemaskan kertas siasatan sebelum hantar ke Pejabat Peguam Negara (AGC) untuk arahan selanjutnya,” katanya.
Terdahulu, Ketua Polis Negara dilaporkan berkata, pihaknya menerima dua laporan polis berhubung video dimuat naik Ganesparan yang menghina menghina agama Islam; Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris selain membuat tohmahan terhadap PDRM.
Beliau dilaporkan berkata, PDRM akan mendapatkan bantuan Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) berkaitan pemilik akaun Facebook itu.
Siasatan di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan dan Seksyen 505(C) Kanun Keseksaan (KK) iaitu mengeluarkan kenyataan dengan niat mengapikan mana-mana golongan atau kaum.
Siasatan turut dilakukan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.
Selain itu, polis turut menjalankan siasatan mengikut Seksyen 298 KK iaitu atas alasan agama, menyebabkan suasana tidak harmoni, perpecahan atau permusuhan, benci-membenci serta niat jahat atau memudaratkan perpaduan. – UTUSAN










