SHAH ALAM: Kerajaan negeri akan menyembah maklum kepada Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenaan perkembangan terkini siasatan terhadap pelaku yang memuat naik hantaran gambar menghina baginda.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, beliau sudah pun bertemu dengan Menteri Komunikasi, Datuk Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil bagi menyatakan pendirian dan meminta tindakan tegas yang pantas diambil oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC).
“Berdasarkan siasatan awal, pemunya akaun telah menaikkan posting tersebut dan kemudian memadamkan akaun tersebut di platform Facebook.
“Saya akan berhubung rapat dengan pihak Kementerian Komunikasi dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berkenaan perkembangan siasatan oleh agensi penguatkuasa dan menyembah maklum sebarang bentuk kemaskini siasatan kes ini kepada Sultan Selangor,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Semalam tular hantaran dalam Facebook sekeping gambar seekor babi digambarkan dalam sepersalinan berwarna kuning dan tanjak ‘solek balung raja’ dengan niat menghina Sultan Selangor.
Hantaran tersebut tular ketika tindakan ADUN Seri Kembangan, Wong Siew Ki hangat dipersoal susulan ucapannya dalam perbahasan menjunjung kasih titah Sultan Selangor pada Rabu lalu yang menegaskan isu penternakan babi di Selangor tidak seharusnya dibezakan dengan haiwan lain.
Amirudin menegaskan, semua pihak harus sentiasa mengingati aspek kebertanggungjawaban dalam penggunaan media sosial dan menjauhkan diri daripada terbawa-bawa dengan tindakan yang boleh mengganggu-gugat keharmonian masyarakat ataupun institusi diraja.
Kerajaan Negeri Selangor mengecam sekeras-kerasnya tindakan tidak bertanggungjawab yang mencela dan mengaibkan Institusi Diraja Negeri Selangor yang dipayungi Sultan Sharafuddin Idris Shah.
“Institusi diraja khususnya Raja-Raja Melayu adalah ketua agama Islam dan merupakan lambang kukuh perpaduan rakyat serta keharmonian masyarakat yang berbilang kaum,” jelasnya.
Terdahulu, Ahli Dewan di-Raja Selangor membuat laporan polis susulan hantaran sekeping gambar dalam Facebook yang menghina Sultan Selangor Sultan Sharafuddin dengan gambaran menjelekkan.
Ahlinya, Datuk Salehuddin Saidin berkata, laporan itu dibuat bagi meminta polis bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) mengesan pelaku dan mengambil tindakan tegas terhadapnya.
Minggu lalu, Utusan Malaysia melaporkan, Sultan Selangor bertitah masih terdengar rungutan daripada pelbagai pihak yang disifatkan tidak berpuas hati selepas baginda menegaskan supaya tiada lagi ternakan babi di negeri ini.
Baginda bertitah, pelbagai faktor menghalang pembangunan ladang babi di negeri ini termasuklah isu tanah yang tidak mencukupi bagi ternakan tersebut selain berdekatan dengan kawasan penempatan penduduk. – UTUSAN










