Gagal patuhi ONSA, penalti hingga RM10j

Gagal patuhi ONSA, penalti hingga RM10j

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Syarikat penyedia perkhidmatan media sosial berlesen yang melanggar Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA) boleh dikenakan penalti kewangan sehingga RM10 juta.

Ia susulan penguatkuasaan Kod Perlindungan Kanak-Kanak (CPC) dan Kod Pengurangan Risiko (RMC) di bawah ONSA bermula 1 Jun lalu, yang tidak membenarkan kanak-kanak di bawah 16 tahun mendaftar akaun baharu media sosial.

Menurut Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), mana-mana pengendali perkhidmatan media sosial yang gagal mematuhi akta tersebut boleh dikenakan denda sehingga RM1 juta dan denda harian sehingga RM100,000 jika sabit kesalahan.

MCMC berkata, pihaknya memandang serius kegagalan beberapa pemberi perkhidmatan media sosial berlesen untuk mematuhi kewajipan pengesahan umur ditetapkan di bawah CPC melalui ONSA.

Kata MCMC, pihaknya telah memulakan tindakan kawal selia sewajarnya dan syarikat media sosial yang didapati melanggar Akta berkenaan diberikan tempoh 14 hari dari tarikh notis, untuk mengemukakan penjelasan berhubung ketidakpatuhan mereka.

“Sekiranya gagal selepas tempoh tersebut, suruhanjaya berhak mengeluarkan arahan statutori berkenaan pematuhan kewajipan yang ditetapkan.

“Pemberi perkhidmatan media sosial berlesen berkenaan juga boleh dikenakan penalti kewangan sehingga RM10 juta kerana gagal mematuhi kewajipan berkanun yang ditetapkan di bawah ONSA,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Sebelum ini, kerajaan melalui MCMC menguatkuasakan ONSA bermula 1 Jun lalu yang melarang kanak-kanak bawah 16 tahun daripada membuka akaun media sosial, untuk melindungi mereka daripada pengaruh negatif di media sosial.

Menurut MCMC, tindakan tersebut boleh dikenakan selepas siasatan pihaknya mendapati terdapat kegagalan oleh pengendali media sosial melaksanakan langkah keselamatan di bawah kedua-dua kod berkenaan.

“Pihak industri tidak lagi boleh memberikan alasan kerana pelbagai sesi libat urus telah pun diadakan sebelum ini. Tempoh peralihan yang munasabah juga telah diberikan bagi memudahkan proses pematuhan yang teratur.

“Pelaksanaan ini adalah untuk memperkukuh keselamatan kanak-kanak dalam talian dan mengurangkan risiko pendedahan kepada kemudaratan di ruang digital,” katanya.

MCMC berkata, di bawah Akta berkenaan, pengendali media sosial berlesen diwajibkan untuk menyediakan perlindungan berkaitan keselamatan kanak-kanak, perlindungan privasi serta ciri-ciri platform yang bersesuaian dengan umur pengguna.

“Semua pemberi perkhidmatan media sosial berlesen diingatkan supaya segera melaksanakan langkah pengesahan umur selaras dengan keperluan ONSA bagi mengelakkan tindakan penguatkuasaan diambil,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN