Di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung - Ahmad Zahid

Di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung – Ahmad Zahid

Di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung
AHMAD Zahid Hamidi berucap pada Majlis Pelancaran Karnival Sambutan 100 Tahun Kampung Jenjarom di Sekolah Kebangsaan Jenjarom, di Kuala Langat, Selangor, hari ini. - UTUSAN / AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LANGAT: Rakyat Malaysia diingatkan supaya tidak melupakan asal usul tanpa mengenepikan pepatah ‘di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung’.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, mengambil sejarah penerokaan Kampung Jenjarom di sini yang kini berusia 100 tahun mempunyai peristiwa penghijrahan penduduk dalam Nusantara Melayu pada peringkat awal.

Menurutnya, dalam tempoh tersebut semangat perpaduan, bersatu padu dan tidak melupakan asal usul menjadikan kampung tersebut mampu terus hidup dan membangun.

Katanya, Kampung Jenjarom mula diterokai oleh orang Banjar sebelum menerima penghijrahan masyarakat Jawa ke penempatan itu yang kemudian berkembang dalam tempoh satu abad.

“Μungkin terdapat perbezaan pendapat dalam kalangan kita, tetapi boleh diraikan dengan akhlak, harus ada adab untuk menangani perbezaan pendapat. Tatacara, tata susilanya kita harus hormati.

“Yang penting, di mana kita berada dan di mana asal usul kita, keturunan, ‘di mana bumi dipijak di situ langit kita junjung’. Itulah paling penting. Ertinya kita tidak pernah lupakan akar tunjang keturunan kita.

“Kita tahu, ketika datuk moyang datang ke kawasan ini mereka tidak perlu pasport seperti sekarang. Kita mungkin datang (ke negara lain) perlu pasport sebab sudah menjadi dua buah negara berdaulat,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Karnival 100 Tahun Kampung Jenjarom, di sini, hari ini.

Pada sambutan yang berlangsung selama tiga hari bermula semalam, terdapat pelbagai acara dianjurkan seperti sukan rakyat, pameran agensi kerajaan, forum permotoran bersama ikon Cub Prix Negaa, Wazi Abdul Hamid, demonstrasi pasukan keselamatan dan sebagainya.

Dalam ucapan sama, Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO memberitahu dalam mempertahankan nilai-nilai tradisi, adat dan kebudayaan, warna-warna politik juga wajar diketepikan untuk membentuk perpaduan.

“Jadi dalam keadaan berbeza 100 tahun lalu dengan situasi yang ada di negara kita, yang penting sistem demokrasi kita yang menjadi pegangan dan juga amalan pada kita disebabkan oleh acuan daripada negara yang pernah menjajah kita. Itu cerita dahulu.

“Tetapi, di hadapan kita sekarang ini realiti di hadapan kita, kita ketepikan warna-warna politik dalam kalangan kita. Perbezaan-perbezaan politik hanya di pentas pilihan raya.

“Generasi baharu mesti ada wadah sama iaitu penyatuan pemikiran, hati hati dan tindakan. Mungkin ada perbezaan-perbezaan pendapat, itu kita boleh raikan dalam kalangan kita tetapi harus ada tasawuf, akhlak dan adab,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN