SETIAP kali berlaku kes jenayah berprofil tinggi terutama melibatkan pembunuhan kejam, media sosial akan berubah wajah menjadi ‘bilik siasatan terbuka’ paling sibuk di negara ini.
Belum sempat polis mengeluarkan kenyataan rasmi, belum pun pasukan forensik melengkapkan siasatan di lokasi kejadian, sudah muncul ribuan ‘pakar’ yang kononnya tahu segala-galanya.
Ada yang membuat analisis sendiri, ada yang menyusun teori berdasarkan gambar tular, malah lebih berani apabila menamakan individu tertentu sebagai suspek hanya bersandarkan cerita kedai kopi dan bisikan aplikasi WhatsApp.

TIDAK SIHAT
Mengambil contoh kes bunuh kes tikam 61 kali di Kampung Simah, Ketereh, baru-baru ini anda boleh lihat ada dalam kalangan kita mula berani mengambil alih tugas polis dengan menyebarkan pelbagai spekulasi yang tidak benar bersabit kes tersebut.
Maklumat tular mendakwa terdapat 105 tikaman pada badan mangsa, sedangkan pemeriksaan forensik hasil bedah siasat oleh polis membawa kepada penemuan 61 tikaman sahaja.
Tindakan itu sama sekali tidak sihat dan dibimbangi akan mengganggu siasatan menerusi andai-andai yang dibuat tanpa menunggu kenyataan sebenar dari polis selaku pihak berautoriti.
Lebih malang, sebahagian warganet seolah-olah berbangga menjadi ‘Detektif Conan’ moden. Mereka berlumba-lumba mencari petunjuk sendiri, meneliti gambar lokasi kejadian, menganalisis kesan darah, membandingkan kenyataan saksi dan membuat rumusan sendiri seolah-olah mereka sebahagian daripada pegawai penyiasat kes.
Hakikatnya, siasatan jenayah bukan drama televisyen yang boleh diselesaikan dalam masa sejam.
Siasatan pembunuhan melibatkan prosedur yang sangat rumit dan teliti. Polis perlu mengumpul bukti forensik, meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV), merakam percakapan saksi, menunggu laporan bedah siasat, mengesan motif serta menghubungkan setiap bukti sebelum sesuatu kes boleh disahkan.
Setiap fakta perlu diperiksa berkali-kali kerana kesilapan kecil boleh menyebabkan siasatan tersasar atau pendakwaan gagal di mahkamah.
Namun dalam dunia media sosial hari ini, semuanya mahu disimpulkan dalam tempoh beberapa minit.
Ada yang hanya melihat keadaan mayat dan terus membuat diagnosis sendiri. Ada pula yang mentafsir emosi ahli keluarga mangsa dalam video tular sebagai petunjuk utama kes.
Tidak kurang juga yang mengedit gambar, memuat naik perbualan lama dan mencipta naratif tertentu demi mendapatkan perhatian serta jumlah perkongsian tinggi.
Budaya ini bukan sahaja tidak matang, malah berbahaya.
Tuduhan tanpa bukti boleh memusnahkan kehidupan seseorang. Bayangkan jika ahli keluarga, rakan atau jiran yang tidak bersalah tiba-tiba menjadi sasaran kecaman hanya kerana wajah mereka tular di media sosial.
Maruah mereka tercalar, emosi keluarga terganggu dan ada yang terpaksa hidup dalam ketakutan akibat fitnah yang disebarkan tanpa kawalan.
KANDUNGAN MEDIA SOSIAL
Lebih menyedihkan, ada warganet yang sanggup menjadikan tragedi pembunuhan sebagai bahan hiburan digital. Gambar mayat dikongsi sesuka hati, rakaman tangisan keluarga dimuat naik untuk tontonan umum dan lokasi kejadian dijadikan ‘kandungan’ semata-mata mahu mengejar jumlah tontonan tinggi.
Di manakah nilai kemanusiaan kita?
Di sebalik setiap kes bunuh, ada keluarga yang sedang menanggung penderitaan besar. Ada ibu kehilangan anak, isteri kehilangan suami dan anak-anak kehilangan tempat bergantung. Ketika mereka sedang bertarung dengan trauma dan kesedihan, media sosial pula menambah luka dengan spekulasi tidak berasas.
Lebih membimbangkan, budaya menjadi ‘detektif media sosial’ juga boleh mengganggu siasatan polis. Penyebaran maklumat palsu mampu mengelirukan orang ramai, menimbulkan panik dan memberi ruang kepada suspek sebenar menyusun langkah untuk meloloskan diri.
Dalam sesetengah keadaan, saksi juga mungkin takut tampil membantu kerana bimbang identiti mereka akan ditularkan.
Kita perlu sedar bahawa tidak semua perkara perlu dikongsi dan tidak semua maklumat perlu diulas.
Jika benar mempunyai maklumat berkaitan sesuatu jenayah, salurkan kepada polis, bukannya menulis teori panjang di TikTok, Facebook atau Threads. Pihak berkuasa mempunyai saluran dan kepakaran untuk menilai kesahihan maklumat tersebut.
HORMAT PROSES PERUNDANGAN
Masyarakat juga perlu belajar menghormati proses undang-undang. Dalam sistem keadilan negara, seseorang itu tidak boleh dianggap bersalah selagi belum dibuktikan di mahkamah. Tetapi budaya media sosial hari ini seolah-olah menghukum terlebih dahulu sebelum siasatan selesai.
Inilah yang paling menakutkan. Kita bimbang masyarakat semakin hilang sensitiviti dan terlalu ghairah mengejar perhatian di media sosial sehingga lupa batas moral serta undang-undang.
Setiap komen, tuduhan dan perkongsian sebenarnya meninggalkan kesan besar terhadap kehidupan orang lain.
Tidak salah mengambil tahu perkembangan kes jenayah. Tidak salah mengikuti berita semasa. Namun, jangan sampai kita melampaui batas dengan mencipta cerita sendiri.
Polis ada tugasnya. Wartawan ada etika laporannya. Mahkamah pula ada proses pengadilannya. Warganet tidak perlu menjadi ‘Detektif Conan’ setiap kali berlaku tragedi.
Kadangkala, sikap paling bertanggungjawab ialah diam daripada membuat andaian.
Kerana dalam dunia media sosial hari ini, satu tuduhan palsu boleh tersebar lebih pantas daripada kebenaran.
Kor Guano? – UTUSAN
PENULIS ialah Koresponden Utusan Malaysia Kelantan.










