PETALING JAYA: Seorang pengguna media sosial dipenjara 10 bulan dan RM50,000 oleh Mahkamah Sesyen Miri hari ini atas pertuduhan memuat naik komen yang bersifat jelik melampau serta menyinggung sensitiviti agama Islam berhubung pemergian bekas Perdana Menteri kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Tertuduh, John Mule anak Alai, 48, dijatuhi hukuman itu setelah mengaku bersalah itu di hadapan Hakim Afidah Abdul Rahman.
Mengikut pertuduhan, John yang juga pentadbir akaun FB ‘Bat Tuo Sai’ didakwa memuat naik komen mencerca serta penghinaan terhadap ayat suci al-Quran dan Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi pada hantaran FB Astro Awani berkaitan berita pemergian Perdana Menteri Kelima itu.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana menggunakan perkhidmatan aplikasi secara tidak wajar dengan memuat naik penghantaran komunikasi bersifat jelik melampau dengan niat mengganggu mana-mana orang.
Dalam pada itu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) berkata, pihaknya memandang serius sebarang bentuk penyalahgunaan platform digital yang boleh menghina agama, mencetuskan kebencian atau menjejaskan keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini.
Tambahnya, MCMC mengingatkan orang ramai supaya menggunakan media sosial secara berhemah, bertanggungjawab serta mematuhi undang-undang yang berkuat kuasa.
“Sebarang kandungan yang bersifat menghina, menghasut kebencian atau menyinggung sensitiviti kaum, agama dan institusi diraja boleh dikenakan tindakan tegas di bawah undang-undang,” katanya. – UTUSAN










