SHAH ALAM: Media khususnya di negeri ini digesa memberi ruang kepada laporan berita perbahasan, kritikan dan perbincangan yang konstruktif berkaitan ekonomi, isu rakyat dan pembangunan negeri seperti dibahaskan dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor.
Ketua Pembangkang Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, media seharusnya memainkan peranan yang lebih adil seiring dengan pelaporan diberikan kepada kerajaan khususnya Menteri Besar dan barisan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN).
“Saya kira tanggungjawab media juga kalau boleh saya cadangkan, media juga bertanggungjawab memberikan maklumat yang adil kepada rakyat dan pembayar cukai, bukan semua rakyat Selangor ada akses kepada perbincangan dan perbahasan dalam sidang dewan.
“Tetapi, laporkanlah juga perbincagnan kami kerana kami menjunjung kasih titah ucapan Sultan Selangor yang cukup sarat dengan nasihat, pedoman, memastikan perjalanan sidang dewan dapat dijalankan dengan adil kepada semua,” katanya pada sidang akhbar, hari ini.
Malah beliau menegaskan, perbahasan ADUN Perikatan Nasional (PN) langsung tidak mengambil pendekatan mencemuh ataupun menyerang peribadi sesiapa, sebaliknya berhujah berasaskan fakta, data, statistik dan cadangan-cadangan yang baik.
Terdahulu, beliau mengulas perbahasannya dalam Sidang DUN Selangor menyentuh isu aliran tunai, penerbitan sukuk serta pembangunan hartanah yang dilakukan oleh anak syarikat kerajaan negeri iaitu Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor).
Menurut ADUN Hulu Kelang itu, beliau membuktikan dalam DUN dengan angka-angka bahawa pendekatan diambil kerajaan negeri sekarang tidak dapat membantu aliran tunai kedua-dua syarikat tersebut.
“Dalam sesi kali ini, kita memberikan tumpuan kepada PKNS khususnya dan Air Selangor dan saya tidak perlu mengupas panjang, tetapi persoalan yang dibangkitkan adalah satu perkara yang serius.
“Kerana sukuk diterbitkan PKNS dan Air Selangor bagi pandangan kami mestilah dilaburkan dalam perbelanjaan pembangunan ataupun (DE) kerana ia dapat menjana pendapatan lebih besar dan mampan bagi anak-anak syarikat berkenaan.
“Tetapi, apa kita lihat khususnya PKNS mengambil jalan mudah dengan menjual tanah-tanah dan tidak terlibat secara aktif dalam pembangunan hartanah, saya buktikan peratusan pendapatan PKNS dalam pembangunan hartanah Selangor jatuh ke tahap sekitar 45 peratus dan peratusan yang besar adalah daripada aktiviti lain khususnya penjualan tanah,” jelasnya. – UTUSAN










