KOTA BHARU: Kecantikan seni bina dan suasana seperti berada di Masjidil Haram, Mekah menjadi tarikan ribuan orang ramai untuk solat isyak berjemaah dan seterusnya bertarawih di Masjid Imanul Fa’izin, Padang Kala di sini.
Situasi itu dapat dilihat apabila pekerja pembersihan masjid akan membentangkan sejadah di kawasan luar masjid untuk memberikan kemudahan kepada orang ramai untuk menunaikan solat tarawih sekiranya dewan utama sudah penuh.
Selesai sahaja solat tarawih, pekerja terlibat akan terus mengemas sejadah dan terus membersihkan kawasan tersebut sebagaimana yang dilihat di Masjidil Haram.
Tinjauan Mingguan Malaysia mendapati lebih 1,500 penduduk sekitar dan orang ramai termasuk golongan musafir memilih bertarawih di masjid berkenaan sejak ia dibuka secara rasmi pada malam pertama Ramadan.
Seorang penduduk Noraihan Che Su, 49, berkata, dia mengambil keputusan bertarawih di sini selepas tertarik dengan seni bina masjid berkenaan.
“Sebaik sahaja melangkah masuk ke masjid ini, saya menjadi cukup teruja dengan suasana seolah-olah berada di tanah suci.
“Ini merupakan pengalaman pertama saya menunaikan solat sejak dibuka pada Selasa lalu,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi Masjid Imanul Fa’izin, Nik Saiful Adli Burhan berkata, reka bentuk yang rumah ibadah ini diinspirasikan dari Masjid Sheikh Zayed di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Katanya, pembinaan masjid yang menelan belanja sebanyak RM7.5 juta itu mengambil masa selama lima tahun untuk disiapkan.
“Pembinaan Masjid Imanul Fa’izin atau Masjid Andalusia ini ditanggung sepenuhnya oleh Pengarah Urusan Kumpulan Andalusia Travel & Tours Sdn. Bhd., Ibrahim Mat Sin.
“Menariknya pembinaan masjid ini, pemilik (Ibrahim) yang menetap di Kuala Lumpur hanya mengirim gambar pelbagai sudut Masjid Sheikh Zayed kepada tukang. Jadi tukang akan menjadikan ia sebagai sumber rujukan,” ujarnya. –UTUSAN










