PETALING JAYA: Polis mengesan lima individu termasuk seorang Datuk dipercayai terlibat kes samun membabitkan urus niaga emas hingga kerugian RM300,000 di Taman Melawati, 15 Mac lalu.
Kelima-lima suspek diburu selepas penahanan tiga wanita berusia 31 hingga 58 tahun di sekitar Ampang Jaya dalam serbuan berasingan pada Jumaat dan Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, mereka ditahan susulan laporan seorang lelaki yang mendakwa diperdaya pada 15 Mac lalu.
Katanya, dalam laporan itu, mangsa bersama rakannya membuat urus niaga berkaitan jongkong emas dengan seorang wanita dan lelaki di sebuah pusat beli-belah di Melawati l pada 1 tengah hari.
“Mangsa kemudian diminta menaiki kereta Proton Gen2 untuk mengambil emas berkenaan dan didakwa dibawa pusing tiga kali mengelilingi pusat beli-belah terbabit.
“Mereka kemudian dibawa ke Jalan G1 dan kereta itu berhenti di tepi jalan sebelum empat suspek (lelaki warga asing) datang, dengan seorang daripadanya mengacukan pistol ke arah kepala mangsa.
“Suspek juga menyembur semburan lada ke mata mangsa dan kemudian merampas beg mengandungi wang tunai berjumlah RM300,000,” katanya dalam kenyataan malam tadi.
Mohd Azam berkata, kesemua suspek kemudiannya melarikan diri dengan menaiki kereta lain.
Jelas beliau, bertindak atas maklumat, pada pukul 7.15 malam hari sama, sepasukan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya menangkap seorang wanita di Taman Melawati disyaki terbabit kes itu.
“Kemudian pada 11.40 malam, 16 Mac lalu, sepasukan polis membuat serbuan ke atas sebuah unit kondominium di Jalan Ampang dan menahan dua wanita.
“Suspek pertama direman lima hari hingga 20 Mac, dan dua lagi suspek direman sehingga 23 Mac,” katanya.
Menurut beliau, mangsa dipercayai kali pertama urusan jual beli emas dengan suspek untuk mengaut keuntungan kerana harga emas yang cepat naik.
Ujarnya, terdapat empat lelaki Afrika dan lelaki tempatan bergelar Datuk disyaki terlibat dalam kegiatan ini masih bebas.
“Siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan,” katanya.- UTUSAN








