PETALLING JAYA: Seramai 13 anggota tentera cedera selepas trak membawa mereka merempuh palang Plaza Tol Teratai, Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) di Ampang dekat sini, petang ini.
Utusan Malaysia difahamkan, maklumat berhubung kejadian diterima pada pukul 4.40 petang.
Susulan kejadian, anggota tentera terlibat dikatakan telah menahan ambulans yang melalui lebuh raya berkenaan untuk meminta bantuan.
Kesemua 13 anggota yang cedera dipercayai dibawa ke Hospital Ampang untuk rawatan lanjut.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Khairul Anuar Khalid berkata, tiada sebarang laporan dibuat dari mana-mana pihak.
“Kami tidak dapat memberi sebarang kenyataan kerana belum ada sebarang laporan sama ada dari pihak tentera mahupun SUKE itu sendiri berkaitan isu ini,” katanya dalam satu kenyataan ringkas malam ini. – UTUSAN









