Lebih 80 peratus dari 3,903 permohonan taraf kewarganegaraan lulus

Lebih 80 peratus dari 3,903 permohonan taraf kewarganegaraan lulus

SAIFUDDIN Nasution Ismail (duduk tengah) bergambar bersama ibu dan anak penerima selepas menyerahkan surat keputusan kewarganegaraan di Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Sebanyak 3,903 permohonan taraf kewarganegaraan di bawah Perkara 15(2) Perlembagaan Persekutuan membabitkan individu bawah 21 tahun diberi keputusan setakat 7 Mac lalu.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, 80 peratus daripada permohonan itu diluluskan, manakala selebihnya ditolak kerana permohonan tidak lengkap dan tidak melepasi tapisan keselamatan.

Beliau berkata, permohonan lengkap yang selesai akan diproses dan setelah mendapat notifikasi daripada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) barulah proses selanjutnya dilakukan.

“Mereka kena datang JPN, buat sejumlah bayaran, akan dikeluar sijil kewarganegaraan dan kemudian boleh keluar dokumen diri berkaitan,” katanya dalam sidang media, di sini hari ini.

Terdahulu, beliau menyerahkan surat keputusan kewarganegaraan kepada seramai 35 orang kanak-kanak yang dilahirkan oleh ibu warganegara Malaysia di luar negara.

Mereka berumur di antara enam hingga 16 tahun dan dilahirkan di pelbagai negara seperti Kanada, Denmark, China, Hong Kong, Taiwan, India serta Qatar.

Perkara 15(2) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa tertakluk kepada Perkara 18, apabila permohonan dibuat kepada Kerajaan Persekutuan oleh ibu atau bapa atau penjaga mana-mana orang yang di bawah umur 21 tahun, maka Kerajaan Persekutuan boleh menyebabkan orang itu didaftarkan sebagai warganegara jika sekurang-kurangnya salah seorang daripada ibu bapanya adalah sekarang (atau pada masa kematiannya) seorang warganegara.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, beliau mahu pemohon menghantar permohonan lengkap supaya tidak berdepan masalah untuk proses kelulusan.

“Dokumen mesti dokumen yang sah. Kalau permohonan itu melibatkan anak lahir luar negara, pastikan bawa anak. Jangan anak tinggal di England, mak dia mohon di sini, tak boleh,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Saifuddin berkata, anak terdampar berusia 18 tahun ke atas masih berpeluang menjadi warganegara setelah pindaan Perlembagaan berkaitan hak kewarganegaraan anak dilahirkan di luar negara oleh ibu warga Malaysia yang berkahwin dengan warga asing dimuktamadkan.

Jelasnya lagi, selepas pindaan dilakukan, permohonan boleh dilakukan menerusi pendaftaran mengikut Perkara 19(b).

“Yang kita nak sebut, adakah kerajaan tutup pintu? Tidak. Kerajaan akan memproses secara pendaftaran.

“Bagi anak terdampar  yang meningkat usia seperti berumur 5 hingga 10 tahun, Perkara 15(a) adalah laluan untuk mereka mendapatkan taraf kewarganegaraan.

“Perkara 15(a) ini adalah permohonan secara pendaftaran dalam kategori anak tidak sah taraf, anak angkat dan anak di bawah jagaan. Apabila umur mereka meningkat, Perkara 15(a) ini lah jalannya,” katanya.

Saifuddin berkata, beliau sedia bersemuka dengan mana-mana pihak termasuk Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) dan Majlis Peguam dalam mencari kata sepakat berhubung pindaan berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN